Malah, mata kirinya itu telah dibuang dalam satu pembedahan April lalu dan sejak dua hari lalu Rais Rafael terpaksa menggunakan mata palsu.

RAIS RAFAEL ROZAIDI, tiga tahun, ketika dikesan menghidap kanser mata pada Disember 2018
RAIS RAFAEL ROZAIDI, tiga tahun, ketika dikesan menghidap kanser mata pada Disember 2018. - UTUSAN ONLINE

Namun, satu lagi ujian menimpa kanak-kanak itu apabila sel kanser telah merebak ke tulang rusuk serta bahagian saraf dan dia perlu menjalani pembedahan pemindahan sum sum tulang dengan segera untuk merawat kanser berkenaan.

Bagaimanapun, ibu Rais Rafael, Nor Aishah Fathin Che Azmi, 31, berkata, dia dan suaminya tidak mampu menampung kos pembedahan tersebut yang mencecah RM33,000 dan rawatan anaknya kini tertangguh selama sebulan akibat kekurangan dana.

“Kami hanya berniaga kuih-muih di Teluk Bahang dengan pendapatan kasar sebanyak RM1,000 setiap bulan.

“Anak sulung kami perlu menjalani pembedahan pemindahan sum sum tulang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) Kuala Lumpur yang mana kos rawatan mencecah lebih RM30,000, namun kami masih tidak mempunyai wang yang mencukupi,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Teluk Bahangn di sini hari ini.

Menurut Nor Aishah Fathin, buat masa ini doktor memaklumkan peluang untuk anaknya sembuh hanya 10 peratus.

“Namun jika dia melakukan pemindahan sum sum tulang, peluang untuknya sembuh meningkat kepada 50 peratus.

“Sebagai ibu, saya mahu melihat anak saya bebas daripada kanser dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain yang sihat,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu Rais Rafael boleh menyumbang menerusi akaun CIMB 7054122450 atas nama Nor Aishah Fathin atau hubungi talian 014-3087892 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE