Menurut Yang Dipertua MPHTJ, Mohd. Rafee Ibrahim, program seperti itu yang julung-julung kali diadakan pihaknya adalah bagi mengeratkan hubungan antara MPHTJ dan semua syarikat pemaju dan perunding bagi memastikan dasar pembangunan di kawasan itu dilaksanakan sebaik mungkin.

Beliau berkata, menerusi perjumpaan itu juga pihaknya dapat memberi penerangan kepada pemaju dan perunding mengenai langkah kerajaan negeri untuk memudahkan terhadap projek-projek perumahan di negeri ini.

"MPHTJ menerangkan kepada pemaju dan perunding untuk memudahkan projek perumahan di kawasan tadbiran ini antaranya memansuhkan keperluan prarundingan, mengubah suai keputusan kelulusan bersyarat dan memastikan pengeluaran perakuan siap dan pematuhan (CCC) sejajar dengan keperluan peraturan.

"Pada masa yang sama, MPHTJ akan memberi khidmat nasihat kepada pemaju perumahan yang tidak mematuhi arahan namun setakat ini bilangan pemaju yang melanggar syarat-syarat ditetapkan begitu minimum," katanya.

Beliau ditemui selepas program Sepetang Yang Dipertua MPHTJ Bersama Pemaju, Perunding di Hotel AMES, Ayer Keroh di sini hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha MPHTJ, Muhammad Shahrul Hafidz Ab. Rahim. - UTUSAN ONLINE