Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Hasdi Husin berkata, dua individu itu dikesan bergambar dengan bangkai harimau itu dan perlu memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, sepasukan anggota Perhilitan telah pergi ke ladang berkenaan untuk mencari individu itu, namun gagal mengesan mereka.

“Setakat ini dua individu lain telah tampil bagi membantu siasatan mengenal pasti punca kematian haiwan dilindungi itu semalam.

“Bagaimanapun dua lagi lelaki gagal dikesan, malah penduduk kampung itu memberitahu mereka bukan berasal dari kawasan berkenaan,” katanya ketik dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam laman sosial menunjukkan beberapa individu termasuk lelaki warga asing dan anggota pasukan keselamatan bergambar dengan bangkai seekor harimau dahan di sebuah ladang.

Mohd. Hasdi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua lelaki tersebut untuk menghubungi Jabatan Perhilitan negeri bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga lima tahun iaitu memburu tanpa permit khas. -UTUSAN ONLINE