Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd. Samad berkata, melalui pendekatan itu, pihaknya berharap nasib golongan tersebut akan terbela memandangkan bukan semua pengguna dadah sampai ke tahap menjadi seorang penagih.

Beliau berkata, ketika ini, masalah penagihan dadah bagaimanapun masih diletakkan sebagai isu keselamatan negara, justeru undang-undang dan akta sedia ada lebih bersifat menghukum.

“Penagih dadah perlu dilihat sebagai pesakit dan bukan sebagai penjenayah, dari situ kita dapat merawat dan memulihkan mereka.

“Kalau seorang pengguna atau penagih itu dilihat sebagai pesakit, kita tentu akan menghantarnya ke hospital tetapi kalau ia berada di bawah keselamatan negara, kita letak dia dalam penjara. Umpama orang sakit, kita hantar ke penjara, jadi takkan selesai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan Rumah Pengasih Amanjaya di sini semalam yang turut dihadiri oleh penyanyi, Datuk Jamal Abdillah.

Hadir sama Pengarah Projek merangkap Pengerusi Perhubungan Pengasih negeri, Badrul Hisham Ahamad.

Dalam pada itu, Ramli turut menyeru badan-badan agama khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk turut sama membantu dalam aktiviti pemulihan dan pencegahan dadah dengan menjadikan masjid sebagai salah satu pusat untuk membantu penagih dadah.

Beliau berkata, mengikut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seluruh negara, jumlah penagih terkumpul melebihi 500,000 individu dan setiap hari dianggarkan terdapat antara 60 ke 80 orang penagih baharu.

“Jadi, keadaan ini memang membimbangkan. Malahan, jenis dadah yang digunakan pada masa kini ialah dadah sintetik iaitu methamphetamine atau ice.

“Dadah ini mendatangkan kesan amat memusnahkan sama ada pada individu terlibat atau orang yang berdekatan dengan mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE