Timbalan Pengerusi Lajnah Kemasyarakatan dan Kebajikan Pas Pusat, Mohd. Faizal Che Yusof berkata, Utusan mempunyai nostalgia tradisinya tersendiri dan menyifatkan akhbar utama negara itu sebagai mangsa politik menyebabkan banyak pihak telah tersalah anggap.

“Kami sedia maklum mengenai situasi menimpa warga kerja Utusan, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana akhbar itu merupakan media arus perdana negara yang banyak mengenengahkan isu mengenai bangsa dan sebagainya, oleh itu kelangsungan mereka harus dijaga.

“Sebagai akhbar yang telah lama bertapak di negara ini Utusan mempunyai aura nostalgianya yang tersendiri. Ramai orang salah anggap sedangkan mereka cuma mangsa politik oleh golongan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di balai berita NSTP di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan berupa cek sebanyak RM2,000 kepada tabung bantuan Utusan yang dilancarkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan News Straits Times Press (NSTP) di sini.

Tambah Mohd. Faizal, beliau menasihatkan warga kerja syarikat itu untuk terus bertabah dalam menghadapi masalah yang melanda dan mencari balik kekuatan untuk terus bangkit sebagai akhbar utama negara. - UTUSAN ONLINE