Malah, pencapaian luar biasa pemuda yang lebih mesra dipanggil Adam itu turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai orang kurang upaya (OKU) pertama Malaysia yang mendaki gunung setinggi 4,095.2 meter itu secara merangkak hingga ke puncak.

Penuntut tahun akhir jurusan Pengajian Komunikasi itu berkata, dia mahu menjadi sumber inspirasi kepada anak muda khususnya golongan OKU agar tidak menjadikan kecacatan dialami sebagai penghalang untuk berjaya.

“Kita tidak akan tahu tahap kebolehan diri sendiri sekiranya enggan mencuba, saya sendiri tidak tahu sejauh mana lagi saya boleh mendaki dengan cara merangkak namun impian saya adalah untuk menawan gunung tertinggi di dunia, Gunung Eve­rest.

“Saya akan cuba jadikan impian itu realiti dan saya mahu semua golongan OKU di luar sana merasakan yang sama seperti saya, teruskan berusaha sehingga berjaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima anugerah tersebut daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records Sdn. Bhd., Christopher Wong di pejabatnya di Bangsar, di sini hari ini.

Pendakian berkenaan merupakan cubaan kedua Adam bersama empat pendaki lain yang menemaninya selepas pendakian pertama pada Januari lalu gagal untuk sampai ke puncak.

Sementara itu, salah seorang pendaki yang juga Pengarah Projek OKU Mount Kinabalu Expedition V2, Muhammad Ariff Baharom berkata, Adam adalah pemuda luar biasa dan beliau akan terus menyokong aktiviti pendakian anak muda itu.

“Saya tertarik untuk mengajak Adam mendaki Gunung Kinabalu selepas melihat kegigihannya memanjat bukit-bukit di sekitar Lembah Klang sehingga perbuatannya itu viral di media sosial sejak akhir tahun lalu.

“Pada saya, dengan sokongan serta dorongan yang betul, golongan OKU ini mampu melakukan perkara yang di luar jangkaan seterusnya menjadi contoh kepada rakan mereka yang lain,” katanya.