Yang Dipertuanya, Mohd. Rafee Ibrahim berkata, sejak awal bulan Ogos ini, sebanyak 2,500 bendera Malaysia pelbagai saiz telah dipasang terutama di laluan-laluan utama di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu antaranya di Ayer Keroh, Bemban dan Bukit Beruang.

Beliau berkata, pemasangan itu tidak terhad di jalan-jalan utama dalam kawasan Hang Tuah Jaya namun turut dilakukan di lokasi tumpuan pelancong bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan itu pada 31 Ogos ini.

"Sepanjang tempoh itu juga, MPHTJ menyasarkan untuk memasang sebanyak 6,000 bendera sebagai salah satu usaha menggalakan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang serta meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan mereka yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa

"Bermula 25 Julai lalu hingga 16 September depan kita akan terus mengambil inisiatif menggerakkan pemasangan Jalur Gemilang di kawasan Hang Tuah Jaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Jalur Gemilang 2019 peringkat MPHTJ di Medan Selera Ayer Keroh di sini.

Menurut Mohd. Rafee, MPHTJ mengambil langkah memasang dan mengagihkan sebanyak 14,000 menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melibatkan beberapa kawasan termasuk empat Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Pengkalan Batu dan Kesidang.

Tambah beliau, Jabatan Pelesenan dan Perkhidmatan Bandar serta Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ turut mengeluarkan lebih 5,000 notis pemberitahuan kepada pemilik bangunan perniagaan, hotel dewan perniagaan, pemaju, balai raya dan lain-lain untuk bekerjasama memasang bendera di kawasan mereka.

Sementara itu katanya, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini, MPTHJ telah mengatur pelbagai pengisian menarik termasuk aktiviti berbentuk patriotik dan kenegaraan di peringkat MPKK.

Beliau berharap rakyat berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana lokasi bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus bersyukur dengan keamanan yang dikecapi ketika ini.

"Rakyat perlu sedar pengisian merdeka buka sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, namun bermaksud menghayati semangat jiwa merdeka itu dengan menyayangi negara sepenuh hati," katanya. - UTUSAN ONLINE