Apatah lagi ia berpunca daripada perbuatannya bermain mercun yang mengakibatkan mata kirinya buta.

Peristiwa hitam yang berlaku semasa dia berusia 10 tahun itu malah sering bermain di fikirannya setiap kali tibanya Ramadan, kerana terjadi semasa Hari Raya Aidilfitri.

Mohamad Abd. Amin Zokri, 26, dari Kampung Bukit Lala di sini dan bekerja sendiri berkata, kejadian tersebut membuatkan dia sehingga kini tidak mahu lagi menyentuh sebarang jenis mercun kerana serik.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia kini juga perlu berulang-alik ke hospital bagi setiap enam bulan untuk menjalani pemeriksaan kerana kadang-kala merasakan tidak selesa pada mata kirinya itu.

Mengimbau kembali tragedi 16 tahun lalu itu, Mohamad Abd. Amin yang masih bujang berkata, ketika itu dia bersama empat orang rakannya bermain mercun berdekatan sebatang parit di kampung mereka pada bulan Syawal.

“Ketika itu kami baling ikut giliran, apabila tiba giliran seorang kawan saya tak sedar dia sudah cucuh api dan sebaik sahaja mercun itu dilempar ke dalam parit mereka semua berpaling muka kecuali saya seorang.

“Letupan itu menyebabkan percikan belerang dan serpihan mercun masuk ke dalam mata kiri dan saya terus rebah ke tanah sehingga turut terkena sebatang kayu.

“Selepas itu mata rasa agak pedih dan saya pulang ke rumah sebelum segera dibawa ibu bapa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Ujar Mohamad Abd. Amin, doktor mengesahkan matanya cedera dan rosak teruk akibat serpihan belerang mercun berkenaan dan memberi pilihan untuk dia menggunakan mata palsu.

“Namun, apabila memikirkan kesan jangka panjang yang dikhuatiri boleh menyebabkan kelopak mata saya tertutup, saya memutuskan untuk mengekalkan mata asal.

“Kejadian itu berlaku ketika saya masih kanak-kanak, jadi agak sukar untuk menerima kenyataan bahawa saya telah buta sebelah mata apatah lagi memerlukan penjagaan mata yang rapi,” katanya.

Justeru, pengalaman yang memberi pengajaran hebat kepadanya itu menyebabkan Mohamad Abd. Amin tidak membenarkan adik-adiknya bermain mercun selain menasihatkan kanak-kanak lain serta orang dewasa tidak sesekali cuba bermain bahan merbahaya itu. - UTUSAN ONLINE