Aktivis kucing di negeri ini, Saifullah Omar berkata, lazimnya kucing yang sakit tua, kucing jantan yang gemar kencing merata dan kucing betina yang kerap beranak menjadi mangsa dibuang oleh pemilik sendiri.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan terdapat banyak kucing tanpa pemilik di lokasi terbabit termasuk di kedai-kedai makan sambil mengemis simpati mendapatkan sisa makanan.

Kucing gelandangan dibela menerusi amal Ramadan
KERJA merawat kucing sakit turut diberikan kepada kucing gelandangan di Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi. - UTUSAN ONLINE

“Fenomena ini membuktikan bilangan kucing gelandangan semakin bertambah.

Malam tadi, saya bersama 30 aktivis mengunjungi Pasar Siti Hajar dan Pasir Puteh Sentral semata-mata untuk memberi makan kepada kucing.

“Kita berkumpul selepas solat tarawih yang turut hadir ialah penaja makanan kucing iaitu Naim Yusof dari Hannan Medispa yang membekalkan makanan kucing, Aslah Mohd. Noor dari Bohlast Fried Chicken (makanan sukarelawan) dan Mohamad Aiman dari RKH Trading yang membekalkan roti, “katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Saifullah berkata, pihaknya juga menyediakan rawatan daripada doktor veterinar untuk kucing di Pasar Besar yang juga menjadi lubuk orang ramai membuang kucing.

“Ubat cuci mata, suntikan dan memberi vitamin menjadi tugasan utama bagi memastikan haiwan terbuang itu mendapat rawatan yang sepatutnya.

“Sebelum ini kita telah melaksanakan kerja amal yang sama di sekitar bandar Kota Bharu yang kini mendapat reaksi positif orang ramai tampil sebagai sukarelawan khusus membantu kucing terbuang,” katanya.

Kucing gelandangan dibela menerusi amal Ramadan
SEBAHAGIAN kucing gelandangan yang berjaya diberi makanan di sekitar Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi. - UTUSAN ONLINE

Saifullah berkata, sumbangan dan tajaan makanan yang mencecah RM1,000 sebulan dengan makanan kucing melebihi 50 kilogram melegakan kucing gelandangan dari terus meminta sisa makanan dari orang ramai.

“Ramadan menuntut kalian beramal kebajikan dan pastikan bukan hanya dalam konteks sesama manusia kerana kucing juga makhluk Allah yang perlukan makanan.

“Misi membantu kucing terbiar tidak hanya berkisar di beberapa pasar di negeri ini, malah kami juga ke Pasar Jertih dan Kuala Besut, Terengganu, dengan ihsan kebajikan yang sama,” katanya. - UTUSAN ONLINE