Siri keempat ziarah tersebut diketuai oleh Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dan turut disertai Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Muhammad Imran Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif RGH, Raja Rusmin Raja Mahmud dan Pengarah Operasi Kelantan Creative TV (KCTV) Norazwatul Akmal Kasmuri.

Rombongan tersebut berkunjung ke rumah Nik Asma Nik Pa, 40, di Kampung Bukit Hitam dekat sini. Nik Asma merupakan ibu tunggal yang kematian suami, Roslan Rashid sejak empat tahun lalu kini terpaksa menyara tujuh anaknya termasuk enam yang masih belajar.

Anak sulungnya, Nur Salsabila Roslan, 22, baru sahaja menamatkan pengajian Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang dan sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah manakala adiknya Nur Najihah, 21, baru selesai menjalani pembedahan sendi pinggul.

RAJA RUSMIN RAJA MAHMUD (kanan) menyerahkan makanan yang dimasak oleh chef RGH
RAJA RUSMIN RAJA MAHMUD (kanan) menyerahkan makanan yang dimasak oleh chef RGH kepada keluarga Nik Asma Nik Pa sambil diperhatikan oleh Azran Fitri Rahim (kanan) ketika ziarah Kita Kongsi di jajahan Pasir Puteh petang semalam. - UTUSAN ONLINE

Anak ketiga, Shahira Balqis, 20, masih menuntut di UiTM Seri Iskandar, Perak dalam bidang Landskap Arkitek; Iskandar Zulkarnain, 18, bekerja kampung; Muhammad Aliff Asyraf, 16, belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai manakala dua lagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Changgai, Muhammad Haziq Muhaimin, 12 dan Muhammad Haziq Iqbal, 8.

Nik Asma bersama anak-anaknya tinggal dalam rumah yang uzur bagaimanapun mereka sukar untuk mendapatkan bantuan membaiki atau membina kediaman baharu disebabkan tiada tanah milik sendiri. Rumah sekarang berada di atas tanah milik kerajaan.

Sementara itu, persinggahan kedua di sebuah rumah milik pasangan Zaleha Hassan, 47 dan Mohd. Fauzi Mat Husin, 50, di Kampung Tebing Tinggi di sini. Mereka mempunyai 11 anak berusia tujuh sehingga 11 tahun. Mohd. Fauzi tidak bekerja kerana sakit buah pinggang dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk hemodialisis tiga kali seminggu sejak dua tahun lalu.

Kini semua tanggungjawab untuk mencari rezeki digalas oleh Zaleha.

“Sebelum ini, suami saya meniaga ais, ikan dan ayam, di Pasar Lama Pasir Puteh, tetapi sejak dua tahun ini, dia terpaksa mencuci buah pinggang, malah dia juga ada penyakit gout.

“Saya cari rezeki sekarang tetapi agak sukar kerana anak-anak masih kecil namun saya bersyukur kerana anak-anak yang sudah dewasa turut membantu meringankan beban dengan berniaga air di hadapan rumah,” katanya.

Terakhir, romgongan Kita Kongsi singgah di rumah Amran Yusof, 53, yang kena serangan angin ahmar. Tugas untuk menguruskan keluarga termasuk sembilan anak mereka diuruskan oleh isterinya, Zarina Yasin, 48. - UTUSAN ONLINE