Penganjuran rumah terbuka itu merupakan kali ke-24 sejak HTL ditubuhkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan keluarga berdaftar pada 1996 yang dipengerusikan Aziz Taib (anak bongsu) dan mempunyai keahlian seluruh keluarga seramai 850 orang termasuk anak-anak, cucu dan cicit.

Menurut Aziz , dia mempunyai 14 orang adik beradik yang mana empat daripadanya merupakan anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama bapanya sementara 10 lagi pula dengan isteri kedua.

Walau bagaimanapun, tahun ini merupakan julungkali diadakan rumah terbuka secara besar-besaran apabila berjaya menghipunkan sebahagian besar ahli keluarga HTL.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri, Rumah Terbuka dan ‘Family Day’ diadakan secara besar-besaran dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, sukaneka dan penghargaan kepada generasi pertama keluarga yang masih ada.

“Lazimnya, sambutan rumah terbuka diadakan mengikut giliran di rumah anak-anak, tetapi kali ini diadakan di kampung kami secara besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online.

Tambah beliau, penubuhan HTL dan penganjuan rumah terbuka bertujuan untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga dengan motto pertubuhan ‘Perhubungan Keluarga Perlu Dieratkan’. - UTUSAN ONLINE