Kempen yang dijalankan setiap tahun itu bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai melaksanakan ibadah korban melalui IRM dan rangkaian Islamic Relief (IR) lain seperti Somalia, Mali, Yaman, Syria dan lain-lain.

"Tahun ini, lebih 3.3 juta umat Islam mendapat manfaat di seluruh dunia. Sasaran bakal menerima sumbangan daging melibatkan 173,794 bahagian korban," kata Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin.

Melalui penyertaan bersama IRM, sebanyak 1,913 bahagian korban akan diagihkan kepada penerima manfaat di 34 buah negara termasuk Malaysia.

Menurut Zairulshahfuddin, umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban bersama IRM boleh terus ke laman sesawang; www.islamic-relief.org.my untuk membuat pendaftaran.

Harga bagi setiap penyertaan bahagian korban berbeza mengikut negara bermula dari RM300 hingga RM1,700.

"Penerima manfaat terdiri daripada golongan ibu tunggal, anak yatim, warga emas, fakir miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit kronik dan pelarian," kata Zairulshahfuddin.

Melalui penyertaan korban sebanyak 159,293 bahagian pada tahun 2018, IR telah mengagihkan 537,797 pek daging korban kepada 3,091,991 penerima manfaat di 35 negara dari kawasan Asia, Afrika dan Eropah Timur.