Namun hari ini, selepas 24 jam kisah mengenai Rais Rafael disiarkan di Utusan Online, nasib kanak-kanak itu mula berubah apabila penderitaannya mendapat perhatian pelbagai pihak.

NOR AISHAH FATIN CHE AZMI
NOR AISHAH FATIN CHE AZMI 

Nor Aishah Fathin berkata, dia dan keluarganya menerima berita gembira hari ini apabila dimaklumkan Kementerian Kesihatan telah meluluskan permohonan mereka untuk merawat penyakit Rais Rafael.

“Kementerian Kesihatan telah meluluskan sebahagian daripada kos rawatan anak saya melalui tabung bantuan perubatan.

“Ditambah pula dengan sumbangan rakyat Malaysia, dana untuk rawatan Rais telah mencukupi dan rawatan akan dijalankan penghujung Jun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online menyiarkan kisah penderitaan Rais Rafael yang memerlukan dana RM33,000 bagi membiayai pembedahan pemindahan sum sum tulang untuk merawat kanser berkenaan.

Nor Aishah Fathin yang hanya menjual kuih di Teluk Bahang di sini merayu sumbangan daripada orang ramai bagi memastikan anaknya dapat berjuang melawan kanser.

Dalam pada itu, Nor Aishah Fathin berkata, dia dan keluarga tidak menyangka dana untuk membiayai rawatan penyakit anak sulungnya itu dengan pantas dapat dikumpulkan.

“Kami sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dan bermurah hati serta sudi menyalurkan sumbangan kepada anak kami dan mendoakan kesembuhan anak kecil ini.

“Kami juga berdoa agar semua yang membantu kami dimurahkan rezeki dan jasa baik anda hanya Allah SWT yang mampu membalasnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE