Tindakan itu dilakukan kononnya sebagai membalas serangan roket yang dilancarkan dari wilayah Palestin itu walaupun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Sumber keselamatan Palestin melaporkan, tentera rejim Zionis melancarkan serangan terhadap tiga pangkalan latihan kumpulan sayap Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam iaitu Kem Tentera Al-Khiyalah Sabiqa di barat laut Gaza City, Kem Tentera Ubaidah di tenggara Gaza City dan Kem Tentera Hittin di barat Khan Younis, di selatan Gaza.

Serangan Israel berkenaan merupakan yang kedua dalam tempoh seminggu selepas membedil sebuah kem pergerakan Hamas di pekan Rafah pada 27 Mei lalu, namun tiada kematian dicatatkan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tentera Israel, serangan udara tersebut dilancarkan ekoran serangan dua roket ke selatan Israel dari Genting Gaza, semalam.

Jelas kenyataan itu, roket berkenaan masing-masing jatuh di kawasan lapang dekat bandar Ashkelon dan pekan Netivot.

“Tentera Israel memusnahkan tiga infrastruktur milik kumpulan pejuang di Genting Gaza.

“Kami percaya serangan roket itu dilancarkan oleh pergerakan Hamas dan tidak akan bertoleransi terhadap cubaan mencederakan penduduk Israel,” tambah kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan roket berkenaan dan pergerakan Hamas yang menguasai wilayah Gaza juga tidak mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut. – AFP