Setiap hari bermula pada pukul 3 petang, orang ramai mula datamg membawa bekas makanan masing-masing bagi mengisi nasi dan lauk yang baru selesai dimasak.

Ketua Dapur Asnaf, Suzana Jusoh, 50, berkata, proses penyediaan bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 3 petang dan mereka memasak satu jenis lauk berbeza setiap hari seperti sup dan gulai.

“Ada 10 kakitangan terlibat termasuk saya, setiap daripada kami mempunyai tugas berbea, contohnya petugas yang bertanggungjawab membersihkan ayam memerlukan tenaga yang ramai iaitu lima orang.

“Setiap hari kami menggunakan 80 kilogram beras untuk memasak nasi manakala 80 ekor ayam pula diperlukan untuk dikerat kepada 1,500 ketul lauk ayam,” katanya ketika ditemui di Rumah Asnaf KKAK di sini semalam.

KKAK yang diasaskan oleh Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu dan membangunkan golongan miskin terutama dari aspek pendidikan sejak tahun 2015.

Sementara itu, salah seorang petugas Dapur Asnaf, Roslini Rifin, 46, berkata, bermula tahun ini, setiap orang yang datang mengambil juadah berbuka puasa di situ perlu membawa bekas dari rumah sendiri untuk membantu menjaga alam sekitar selain menjimatkan masa.

“Kalau dahulu kami terpaksa menghabiskan masa dua hingga tiga jam untuk membungkus nasi dan lauk dalam polisterin hingga kadang-kadang pukul 6 petang baru boleh diagihkan tetapi sekarang semuanya mudah dan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal anak satu, Faridatul Akmar Ismail, 39, pula berkata, dia mula mengambil makanan berbuka puasa di situ sejak 2017 lagj.

“Alhamdulillah walaupun percuma tetapi ia sedap, saya dapat berjimat dan hanya perlu masak untuk sahur sahaja.

“Saya bekerja mengambil upah membersihkan rumah orang dan pendapatan tidak menentu untuk menyara kehidupan bersama anak tunggal saya berusia 15 tahun,”katanya. - UTUSAN ONLINE