Malah, Allahyarham turut mendapat perhatian dan pujian ketika mempamerkan kewibawaan dan kecekapannya sewaktu mengendalikan latihan Eks Aman Youyi pada 2018.

Menurut seorang anggota wanita dari China, Allahyarham juga mempamerkan ciri-ciri keberanian dan mahu kami tampil berani terutama ketika sedang menggunakan senjata api.

"Ketika sesi latihan, beliau sendiri berdiri tidak jauh dari papan sasaran. Jadi kami hanya ada ruang yang sikit untuk menembak. Kalau tersasar pasti terkena beliau." katanya.

Anggota tersebut berkongsi pengalaman latihan menerusi satu klip video dokumentari lathan tersebut yang tular dalam media sosial.

Sementara itu, seroang anggota lelaki dari negara sama turut berkongsi pengalaman serupa ketika menjalani latihan menembak.

"Ketika latihan, beliau berada betul-betul di hadapan kami. Seperti satu cabaran, beliau mahu kami tembak tepat pada sasaran," luahnya.

Biarpun menunjukkan keberanian dengan berdiri bertentangan dengan pelatih dan berhampiran dengan papan sasar, namun beliau menitikberatkan aspek keselamatan.

Menurut seorang lagi anggota dalam latihan yang sama, semua pelatih menggunakan peluru hidup ketika menembak.

"Beliau mematuhi prosedur keselamatan ketika mengendalikan latihan terutama melibatkan senjata api, tidak hairanlah beliau yakin dan mempunyai ketahanan mental yang tinggi," ujarnya.

Allahyarham merupakan pegawai komando dari 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) meninggal dunia semalam akibat terkena tembakan ketika melakukan gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah.

Mohd. Zahir, 39, yang merupakan anak pelakon, AR. Badul dilaporkan terkena tembakan senjata jenis M4 dalam demonstrasi melibatkan pasukan khas sempena paluan berundur Markas 5 Briged.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh pada 7.45 pagi tadi mengikut istiadat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - UTUSAN ONLINE