Malah, ada yang mencuba kaedah yang pernah dilakukan pada banjir sebelum ini iaitu menjemur peralatan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh yang dimasuki air lebih seminggu supaya boleh digunakan semula.

Seorang penduduk, Romzi Omar, 50, berkata, banjir yang melanda kali ini lebih dalam paras air berbanding tahun lalu menyebabkan peti sejuk miliknya yang diletakkan di atas meja tumbang dan tenggelam di dalam banjir.

“Pengalaman musim banjir lepas saya adalah peti sejuk dan mesin basuh dijemur lebih seminggu supaya ia betul-betul kering dan Alhamdulillah ia boleh digunakan lagi dan kali ini saya harap ikhtiar saya itu berhasil.

“Saya dan isteri, Semahan Ishak terpaksa membuat begini kerana tidak mahu berbelanja membeli peralatan elektrik yang baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di sini hari ini.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak Ahad lalu menyebabkan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, sebahagian daripada kitab al-Quran, tafsir, surah Yassin dan kitab-kitab lain tidak dapat diselamatkan apabila banjir melanda Madrasah Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Ainussyukriyyah di Kampung Panchor di sini.

Menurut salah seorang pelajar tahfiz itu, bencana ini bukan kali pertama berlaku malah air naik begitu cepat menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan kitab-kitab suci di madrasah berkenaan.

“Kami berharap ada pihak yang sudi membantu daripada segi kewangan untuk menggantikan barangan dan peralatan yang musnah kerana banjir dan kitab-kitab itu akan dilupuskan kepada mereka yang bertauliah,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga pukul 4 petang ini, hanya satu PPS masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam yang menempatkan sebanyak 45 penduduk daripada enam keluarga.

Katanya, sebanyak 12 PPS yang dibuka sejak Ahad lalu sudah ditutup secara berperingkat-peringkat berikutan paras air yang semakin menurun. -UTUSAN ONLINE