Kehidupan Abe Jali atau Mohd. Idris Ibrahim, 58, semakin teruk selepas kaki kanannya dipotong pada tahun lepas akibat kencing manis dan dikatakan ditinggalkan isterinya.

Beliau kini tinggal di rumah Program Perumahan Termiskin (PPRT) bersama ibunya, Mek Nab Samad, 80, yang juga uzur.

Sementara itu, Mek Nab memberitahu, kedua-dua anak Abe Jali berada di luar Kelantan dan sering mengunjungi ayahnya pada musim cuti persekolahan.

“Zaman kegemilangannya sudah berlalu dan namanya pun semakin dilupai ramai malah dia juga sukar untuk mengurus diri sendiri.

“Makcik menjadi penemannya selain mengurus makan dan pakaiannya. Adik beradik yang lain turut membantu, “ katanya ketika ditemui di rumahnya ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bukit Abal (Pkabas) Pasir Puteh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Pkabas Pasir Puteh, Muhammad Yusri Ismail berkata, pihaknya terpanggil untuk menjenguk dan berkongsi kesusahan selepas kisah insan seni itu tular di media sosial.

“Abe Jali adalah budayawan negeri ini yang sebaris pelawak dan pelakon Sabri Yunus, Allahyarham Zami Ismail dan pendikir lain yang tersohor di negeri ini.

“Rancangan Salam Pantai Timur dan slot hiburan komedi sekitar tahun 2007 menyerlahkan bakat dan kewibawaannya namun serangan penyakit kencing manis kronik memalapkan kerjaya yang diceburinya selama ini,” katanya.

Rombongan Pkabas menyampaikan sedikit wang perbelanjaan dan barangan makanan kepadanya bagi meringankan bebanan hidup bekas pejuang budaya ini. - UTUSAN ONLINE