Pengerusinya, NN Venthan berkata, program di bawah projek berkenaan akan memberi keutamaan kepada aspek pendidikan yang menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar dari segi keintelektualan serta pembentukan nilai sahsiah tinggi.

“Projek Reformasi Diriku ini bermatlamat membentuk generasi pelajar masyarakat India sebagai modal insan yang sentiasa bersedia memajukan diri dalam aspek akhlak, sahsiah dan juga akademik.

“Bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi pelajar dalam aspek akademik, SEDOR yakin kaedah bimbingan dan teknik rangsangan pemikiran khususnya dalam kurikulum akan memberi impak positif untuk mereka memahami perubahan yang drastik pada diri mereka,” kata beliau kepada Utusan Online hari ini.

Pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar di Dewan Rafulin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Bestari Jaya pada 18 Ogos lalu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, Dr. Idris Ahmad,

Selain Venthan, turut hadir Pengerusi Program SEDOR, B. Sivabalan.

Menurut Venthan, ilham memperkenalkan projek berkenaan tercetus berikutan sejak kebelakangan ini terdapat aktiviti negatif yang semakin berleluasa di kawasan daerah Kuala Selangor terutama dalam kalangan generasi muda.

“Isu ini juga menyebabkan generasi muda kaum India masih ketinggalan jauh dalam bidang sosio-ekonomi berbanding dengan kaum lain.

“Masih terdapat ramai pelajar India khususnya di kawasan luar bandar kurang menyedari peri pentingnya pemikiran positif yang diperlukan untuk masa depan mereka. Isu inilah yang menarik perhatian SEDOR sehingga tercetusnya projek ini,” kata beliau.

Jelas Venthan, SEDOR juga bersedia menghulurkan bantuan untuk generasi muda masyarakat India yang terdiri daripada golongan B40 untuk berdaya saing dalam menggorak masa depan mereka lebih baik.

“Antara program yang telah dilaksanakan adalah Pemantapan dan Transformasi Minda Masyarakat Belia India, Seminar Pemantapan Ekonomi Wanita, Malam Aneka Ragam Kemerdekaan, Hari Yoga Antarabangsa, Seminar Keluarga Dinamik Masa Depan, Uji Bakat Vokal dan Bakat Pentas,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE