Masalah dihadapi itu sekali gus mewujudkan pelbagai perasaan kepada para penumpang yang kecewa kerana gagal tiba ke destinasi seperti dijanjikan.


Atas sifat keprihatinan, sebuah syarikat makanan segera tampil menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan menyediakan minuman percuma kepada penumpang yang berada di KLIA.

Akaun Twitter Malaysia Airports memuat naik ciapan rasa terharu sumbangan McDonalds Malaysia yang mengedarkan minuman percuma kepada penumpang di situ.

“Terima kasih @McDMalaysia yang membuat kejutan kepada para penumpang dengan memberi minuman kopi dan jus oren percuma.

“Kami sedang memperbaiki sistem rangkaian dan semua orang meminati ‘Mekdis’ sejak awal pagi yang menjadi satu kenangan manis dan indah,” katanya dalam status tersebut yang dimuat naik pagi tadi.

Rabu lalu, ribuan penumpang di KLIA mengalami kelewatan berikutan masalah gangguan sistem menyebabkan kebanyakan penerbangan terpaksa dijadualkan semula.

Masalah itu bagaimanapun pun beransur pulih pagi tadi berikutan barisan penumpang di kaunter daftar masuk lebih teratur. - UTUSAN ONLINE