Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, daripada jumlah aduan berkenaan, 4,932 aduan telah berjaya diselesaikan oleh syarikat utiliti itu sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, Melaka Tengah mencatatkan jumlah aduan tertinggi dengan 6,970 aduan bagi tempoh Mei hingga Jun diikuti Jasin (609 aduan); Alor Gajah (586 aduan); Masjid Tanah (384 aduan) dan Merlimau (387 aduan).

“Ketua Menteri, Adly Zahari sudah memanggil TNB memberi penjelasan berkenaan isu itu pada 10 Mei lalu, di mana TNB sudah memberi jaminan untuk menyelesaikan segala aduan mengikut garis panduan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Selain kerajaan negeri, isu ini turut dipantau oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Suruhanjaya Tenaga.

“Hasil daripada perjumpaan itu, TNB sudah mengadakan program Hari Bersama Pelanggan di seluruh pejabat TNB negeri pada 28 hingga 31 Mei lalu. Kaunter khas aduan difahamkan masih lagi dibuka hingga hari ini,” katanya.

Mohd. Sofi (Amanah-Durian Tunggal) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai senarai aduan awam mengenai Meter Pintar TNB termasuk mengikut daerah dan status penyelesaian pada Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 di Seri Negeri, di sini, sebentar tadi. -UTUSAN ONLINE