K. Sri Devi Ashivini, 11; K. Shri Rajiv, 15, dan K. Sri Vashinivi, 16, yang tinggal di Rumah Pangsa Banda Hilir di sini sering tidak hadir ke sekolah sebelum ini disebabkan kekangan kewangan ibunya, S. Kausalya, 40, yang bekerja sebagai pembantu restoran dengan pendapatan RM30 sehari.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee termasuk bantuan peralatan sekolah.

Sri Devi berkata, disebabkan mereka sering ponteng sekolah kerana masalah yang dihadapi itu, nama mereka bertiga tidak tersenarai untuk sesi persekolahan 2019.

"Kami terkilan dan tak tahu nak buat apa tetapi nasib baik ada tauke kedai runcit memberikan nombor YB (Yang Berhormat) Norhizam kepada kami.

"Pakcik itu mencadangkan supaya kami menghubungi YB untuk mendapatkan bantuan keperluan sekolah kerana dia rasa kami layak dibantu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, selepas mendapat nombor tersebut, dia meminta ibu menghubungi wakil rakyat itu untuk memaklumkan masalah dihadapi mereka melalui aplikasi WhatsApp.

"Tidak sangka beliau beri jawapan segera dan tak sampai sejam, YB hantar teksi bawa kami ke kedai untuk membeli kelengkapan sekolah selain wang tunai RM950," ujarnya.

Tambah Sri Devi, ibunya tidak mampu untuk menyediakan mereka kelengkapan sekolah yang cukup mencukupi kerana terpaksa mengutamakan keperluan perubatan akibat penyakit darah tinggi, kencing manis dan masalah penglihatan sejak dua tahun lalu.

Sementara itu Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri berkata, beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban ibu mereka.

Katanya, masalah ketiga-tiga beradik yang nama mereka tercicir untuk sesi persekolahan 2019 itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan untuk menyelidik serta memberi bantuan sewajarnya agar mereka dapat kembali bersekolah.

"Saya harap agar pihak sekolah dapat mempertimbangkan semula untuk menerima ketiga-tiga pelajar ini untuk ke sesi persekolahan 2019.

"Mereka ponteng sekolah bukan sebab mahu melepak dan sebagainya tetapi disebabkan tiada duit untuk makan. Sebagai manusia, kita perlu prihatin dengan nasib mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE