KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengisytiharkan perang terhadap kegiatan perlombongan emas haram dan mana-mana pihak yang menceroboh dan mengeksploitasi khazanah mineral negeri tanpa lesen atau kelulusan sah.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia bukan sahaja melanggar peraturan bawah Enakmen Mineral (Kelantan) 2001, malah menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak kerajaan negeri dan rakyat.
“Kita beri amaran keras kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan perlombongan emas tanpa lesen supaya menghentikan operasi mereka serta-merta.
“Tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti kepada individu yang ditahan di lokasi, sebaliknya siasatan akan diperluaskan bagi mengesan dalang, pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera dan mana-mana pihak yang bersubahat atau mendapat manfaat daripada kegiatan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan telah mengetuai operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang pada 13 Julai lalu dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Katanya, hasil operasi itu, tiga warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
“Pasukan penguat kuasa turut merampas pelbagai jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut membabitkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.2 juta.
“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi sebelum tindakan pendakwaan diambil mengikut Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.
Katanya, operasi membanteras perlombongan emas haram akan terus diperkukuh secara bersepadu melibatkan PTG, Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta agensi berkaitan.-UTUSAN










