Bermula sebagai seorang aktres di negara kelahirannya di Thailand, Anyarin Sofea kini bersedia mencipta identiti baharu dalam karier seninya terutama dalam misinya untuk ‘menakluk’ hati pencinta muzik di Malaysia.
Selepas bertahun-tahun dikenali menerusi drama dan filem di Thailand, pelakon jelita ini kini mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan bakat nyanyian menerusi single sulung berjudul Balar-Balar.
Kemunculan Anyarin dalam industri muzik tempatan nyata mencuri perhatian ramai, apatah lagi apabila dia dilihat serius mahu membina nama sebagai penyanyi di Malaysia.
Bagi Anyarin sendiri, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk keluar daripada zon selesa dan mencabar kemampuan diri.
“Saya rasa datang ke sini adalah satu peluang yang baik dan ia mencabar saya untuk menjadi seorang artis di sini. Di Thailand, saya lebih dikenali sebagai pelakon drama dan ia sangat berbeza daripada menjadi seorang penyanyi. Sebab itu saya rasa pengalaman ini sangat menarik untuk saya cuba,” katanya.

Meskipun baru melangkah secara serius dalam bidang nyanyian, Anyarin sebenarnya sudah mempunyai sedikit pengalaman dalam dunia muzik sebelum ini. Namun, dia mengakui dirinya lebih sinonim sebagai pelakon berbanding penyanyi.
“Saya bukan penyanyi sepenuhnya sebelum ini, tetapi saya pernah berpeluang menyanyikan lagu runut bunyi (OST) untuk siri drama di Thailand. Jadi apabila saya mula serius menyanyi sekarang, ia terasa seperti sesuatu yang baru untuk saya terokai,” ujarnya.
Mengimbas kembali perjalanan seninya, Anyarin mendedahkan, dia mula terlibat dalam industri hiburan sejak usia 14 tahun. Sejak itu, dia aktif membintangi pelbagai drama dan filem di Thailand sehingga berjaya membina nama sebagai antara pelakon terkenal di sana.
“Saya mula berlakon sejak umur 14 tahun. Sudah lama saya berada dalam industri hiburan di Thailand dan saya banyak terlibat dalam drama serta filem sepanjang tempoh itu.
“Bagaimanapun, minat terhadap nyanyian ini agak baru.Sebelum ini saya pernah membuat persembahan mini konsert ketika menghadiri acara tertentu. Saya rasa ia sangat menyeronokkan dan saya benar-benar menikmatinya. Saya suka membuat persembahan di hadapan orang ramai,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai single Balar-Balar, kata Anyarin, ia diambil daripada slanga Kelantan yang dipilih kerana bunyinya mempunyai persamaan dengan dialek di Selatan Thailand.
“Penerbit beritahu saya bunyinya hampir sama dengan bahasa Thai Selatan, jadi dia memilih untuk menggunakan perkataan itu. Saya sangat teruja dengan single pertama ini.
“Saya rasa semuanya berjalan lancar dan peminat saya di Thailand juga agak terkejut apabila melihat saya serius dalam bidang nyanyian,”katanya.
Dalam usaha menempatkan diri dalam industri muzik tempatan, Anyarin tidak menafikan dia turut merasai cabaran besar memandangkan ramai penyanyi Malaysia memiliki vokal yang mantap dan berkualiti.
Namun, perkara itu dianggap sebagai pembakar semangat untuk dirinya terus belajar dan memperbaiki kelemahan.
“Saya rasa penyanyi di sini sangat berbakat, terutama dari segi vokal. Jadi saya perlu lebih banyak berlatih dan terus memperbaiki diri supaya dapat memberikan yang terbaik.
“Antara penyanyi Malaysia yang saya suka ialah Sarah Suhairi, Mimi Fly dan Wany Kayrie,”katanya.
Walaupun kini semakin aktif dalam bidang nyanyian di Malaysia, Anyarin menegaskan, dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan yang telah membesarkan namanya di Thailand.
Menurutnya, dia masih aktif menjalani penggambaran filem dan drama di negara asal.
“Saya masih terus berlakon di Thailand. Sekarang saya sedang menjalani penggambaran filem baharu juga di sana. Ia berkaitan dengan gadis berbangsa Cina-Thai,” katanya.










