Ketika artikel ini ditulis, lebih 20,000 kanak-kanak Palestin dibunuh oleh tentera Israel sejak Oktober 2023. Mereka bukan sekadar angka statistik, tetapi anak, adik, dan seseorang bermakna kepada seseorang lain.
Mereka dan segala kenaifan percaya, dunia akan selalu mempunyai cara untuk menjelmakan impian, mereka ke sekolah bercanda dengan kawan-kawan, mencintai mata pelajaran tertentu, menghafal al-Fatihah dan menyukai lautan. Dosa apa membuatkannya seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang polos harus ditembak tiba-tiba?
Sekitar awal 2024, dunia pernah melihat dan mendengarkan audio tular kanak-kanak enam tahun bernama Hind Rajab, merayu, menangis dalam ketar suara minta diselamatkan. Hind Rajab ketika itu terperangkap dalam kereta selepas Israel menembak kereta ahli keluarganya bertubi-tubi mengakibatkan enam ahli yang lain syahid.
Hind, satu-satunya yang terselamat dan meminta agar seseorang datang mengambilnya, membawanya keluar daripada keadaan yang serba ganas dan mengelirukannya itu.
Ketika audio itu tular, kita tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi, adakah Hind berjaya diselamatkan. Bagaimanapun, audio suara itu sampai kepada pengarah, Kaouther Ben Hania merasakan ia sebuah panggilan, tanggungjawab untuk menyelamatkan Hind. Kata Kaouther, suara kanak-kanak itu mengekorinya, macam ada sesuatu yang menggugah emosi dan akal fikirnya walaupun kita semua tahu ke mana akhirnya penderitaan Hind selepas lebih tiga jam tersepit dalam kereta.

Selepas ‘The Man Who Sold His Skin dan ‘Four Daughter’, Kaouther meneruskan ‘DNA’ membawa keluar kisah-kisah perjuangan menerusi ‘The Voice of Hind Rajab’, Kaouther memulakan proses mengumpul audio sebenar kanak-kanak itu, mencari ahli keluarga meminta izin untuk terus memperjuangkan suara Hind Rajab, walaupun kanak-kanak berusia enam tahun itu sudah tiada.
Kouther memberikan kita pendekatan berbeza iaitu untuk sama-sama duduk di dalam bilik operasi Bulan Sabit Merah Palestin (BSMP), merasai ketegangan yang harus dihadapi para pekerjanya. Ketika itulah filem ini membongkar secara jelas dan pahit apa yang dilalui Hind Rajab.
Waktu itu 29 Januari 2024, Israel memberi amaran agar mereka mengosongkan penempatan Tel Al Hawa. Hind dan enam ahli keluarga yang lain berada dalam satu kereta bergerak meninggalkan kediaman. Tapi entah mengapa kereta mereka ditembak kereta kebal Israel bertubi-tubi, ajaibnya, Hind satu-satunya terselamat daripada serangan pertama.
Selepas satu jam daripada insiden itu barulah BSMP menerima laporan, siap-siap mahu menghantar ambulans. Dari kakak saudara, telefon itu kemudian berpindah ke tangan Hind yang berusia enam tahun merayu ‘tolong selamatkan saya’.

Kaouther membawakan gaya docudrama tapi memfokuskan emosi, suasana dalam bilik operasi. Barulah kita faham sangat tidak mudah untuk mereka di Palestin mendapat kebenaran menyelamatkan orang. BSMP harus melalui Palang Merah Antarabangsa, kemudian Kementerian Kesihatan, COGAT (unit dalam Kementerian Pertahanan Israel) untuk memberi lampu hijau agar perjalanan ambulans ini selamat.
Sedangkan jarak antara ambulans dengan Hind hanya tujuh minit. Tapi kerana proses merepek ini yang sangat panjang, Hind terpaksa menunggu. Malah lebih sial, Israel datang menembak sekali lagi ke arah kereta Hind. Filem ini tidak meletakkan kita di situasi penuh berdarah, Tel Al Hawa. Tapi kita semua cukup pedih dan ngeri mendengar bunyi tembakan dan huru harap daripada rakaman audio sebenar.
Malah, saya fikir pelakon yang cuba menjelmakan semula situasi dalam bilik operasi sangat hebat kerana boleh menyamai ledakan emosi, rasa tertekan pekerja BSMP sebenar dalam audio tersebut. Semuanya sangat terperinci, termasuklah ketika mereka harus meniru semula rakaman video sebenar dalam bilik operasi semasa kejadian.
Bayangkan, akhirnya lampu hijau diberikan, ambulans bergerak ke arah Hind. Ada sinar, masing-masing saling berharap. Tapi ‘pum’ bunyi ledakan bom kedengaran, kedudukan ambulans tidak bergerak di dalam peta. Apa guna ‘lampu hijau’ diberikan, jika hujung-hujung mahu diletakkan? Betapa jahanamnya perangai tentera Israel?
‘The Voice of Hind Rajab’ tidak hanya mustahak kerana menjadi seruan membawa mereka keluar daripada situasi yang mencengkam. Tapi juga menelanjangkan keangkuhan dan kebinatangan Israel yang menindas baik di lapangan mahupun menerusi sistem. Filem ini ibarat sebuah dokumentasi bukti terhadap kekejaman Israel yang selama ini disembunyikan.
Sudah semestinya, filem ini tidak akan ‘lepas’ ditayangkan di banyak negara walaupun menerima ‘standing ovation’ paling lama dalam sejarah tayangan di Festival Filem Antarabangsa Venice. Bagaimanapun, Malaysia menjadi antara negara yang menerima filem ini dengan tangan terbuka dan saya menyeru agar kita ke panggung untuk memahami lebih dalam nasib saudara kita dan kebinatangan rejim Zionis.










