Stereoangel: Tidak klise dengan kisah cinta - Utusan Malaysia

Stereoangel: Tidak klise dengan kisah cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia muzik tempatan yang semakin sesak dengan wajah baharu dan trend silih berganti, hanya segelintir kumpulan mampu kekal berdiri teguh mempertahankan identiti serta idealisme seni mereka.

Lebih-lebih lagi bagi band yang lahir daripada jalur ‘underground’, perjalanan untuk menembusi arus perdana bukanlah mudah dan menuntut kesabaran luar biasa.

Namun, di sebalik cabaran, kepercayaan terhadap muzik sebagai wadah ekspresi dan suara masyarakat terus menjadi bahan bakar yang menghidupkan perjuangan mereka.

Itulah kisah yang dilalui oleh Stereoangel, sebuah band rock moden berasal dari Sabah yang sudah hampir tiga dekad menabur bakti dalam dunia seni.

Dengan pengalaman panjang serta jatuh bangun yang membentuk kematangan, Stereoangel akhirnya berjaya merealisasikan satu lagi impian besar yang lama terpendam, melahirkan sebuah album penuh sebagai bukti kelangsungan perjuangan mereka dalam industri muzik tempatan.

Bagi mana-mana anak seni, album bukan sekadar himpunan lagu, sebaliknya simbol pencapaian dan pengiktirafan terhadap jerih payah yang dicurahkan.

Ia menjadi saksi bahawa perjalanan mereka tidak sia-sia dan sinar kreativiti masih menyala.

Demikian jugalah maknanya album Abstraksasi buat Stereoangel yang dianggotai Mhai, 44, selaku vokalis dan gitar kedua, Nai, 44, (bass), Ding, 38, (gitar utama), Moli, 39, (dram), serta Apis, 37, (keyboard/synth).

Selepas mencurahkan sepenuh jiwa dan raga, album Abstraksasi dilancarkan secara rasmi pada November lalu, sekali gus menandakan satu lagi dimensi baharu dalam perjalanan seni Stereoangel.

Album yang mengambil masa sekitar lapan bulan untuk disiapkan itu disuntik keistimewaan tersendiri sejajar dengan identiti band ini, malah menampilkan corak karya yang tidak terikat dengan elemen klise seperti cinta semata-mata.

Menurut Mhai, album yang memuatkan sembilan lagu itu mengetengahkan isu yang lebih besar dan sarat dengan mesej penting berkaitan pelbagai kisah kemasyarakatan.

“Konsep muzik Stereoangel berpaksikan rock moden dan mesej lagu-lagu kami lebih menyentuh isu-isu semasa, bukan tertumpu kepada satu tema sahaja.

“Kalau sesetengah band memilih untuk fokus kepada lagu cinta, kami pula mempelbagaikan genre karya, termasuk lagu raya dan patriotik. Ia sedikit lari daripada kebiasaan lagu yang hanya berkisar cinta,” katanya.

Lebih bermakna, album Abstraksasi terbitan Mesqa Entertainment ini turut menerima sokongan Kementerian Komunikasi dan Mycreative Ventures. Sokongan itu membuka ruang lebih luas buat Stereoangel untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Kementerian Komunikasi dan Mycreative Ventures kerana membantu bakat tempatan merealisasikan impian mewarnai industri muzik Malaysia. Kami berharap lagu-lagu kami diterima baik, diberi peluang menyertai anugerah juara lagu, dan mungkin ada yang dijadikan runut bunyi drama atau filem.

“Di samping itu, kami juga bersedia menerima tawaran persembahan di dalam mahupun luar negara kerana kami memang sangat gemar beraksi di atas pentas dan menghiburkan penonton,” ujar Mhai.

Pelancaran album itu turut menjadi bukti bahawa Stereoangel belum ‘berkubur’, meskipun mengakui perjalanan seni mereka tidak selalu berada di puncak.

“Kalau ikutkan, kerjaya kami memang ada pasang surut dan pernah juga menyepi. Namun, cinta terhadap muzik tetap membara. Album ini menjadi taruhan kami untuk menonjolkan semula nama dan memikat lebih ramai pendengar, khususnya Gen Alpha.

“Kami bermula dari ‘underground’, dan sudah tiba masanya untuk kami melangkah lebih jauh ke hadapan dalam industri muzik arus perdana,” kata Moli.

Ketika ini, Stereoangel giat mempromosikan single Ku Bukan Dewi Cinta yang muzik videonya sudah dilancarkan di YouTube rasmi AJ Productions Sdn Bhd. Selain berada di platform penstriman muzik dan corong radio tempatan, sebuah lagu daripada Abstraksasi iaitu Bukan Kehendakku turut dirancang untuk dimainkan serentak di 50 stesen radio Indonesia.

Majlis pelancaran album, video muzik serta showcase Stereoangel berlangsung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kota Kinabalu, Sabah pada November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN