Penyanyi baharu kelahiran Sabah, Izy Harun, tampil memperkenalkan diri dalam industri muzik tempatan menerusi single berjudul Resah, sebuah karya pop balada melankolik yang mengangkat tema kegelisahan emosi selepas perpisahan. Lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2025 dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Izy atau nama sebenarnya Nazrie bin Basarun, 26, berasal dari Kunak, Sabah dan kini menetap di Kuala Lumpur. Sebelum bergelar penyanyi, beliau bekerja sepenuh masa sebagai jurujual dalam industri pelancongan selain aktif di media sosial. Minatnya dalam dunia seni bermula sejak di bangku sekolah apabila pernah mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid, tilawah al-Quran dan hafazan.
Kerjaya seni Izy bermula secara tidak langsung menerusi platform TikTok, khususnya sesi siaran langsung ‘Singing Room’ yang membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi minat menyanyi. Daripada platform tersebut, bakat Izy mula mendapat perhatian sebelum diperkenalkan kepada komposer yang akhirnya membawa beliau ke studio rakaman dan memulakan perjalanan sebagai penyanyi rakaman.
Setakat ini, Izy telah merakamkan tiga buah lagu dengan Resah menjadi karya yang paling menonjol dan mendapat perhatian. Lagu ciptaan dan terbitan Bobb Ghazali itu menggabungkan elemen pop melankolis dengan susunan muzik yang sederhana namun sarat emosi, sekali gus menyerlahkan kejujuran penyampaian vokal Izy.
Resah mengisahkan perasaan gelisah dan kemurungan seorang individu selepas ditinggalkan insan tersayang, sehingga terperangkap antara keinginan untuk mendapatkan semula cinta atau melepaskan segalanya.
“Lagu ini dekat dengan apa yang saya rasa dan apa yang ramai orang pernah alami. Saya harap pendengar yang melalui situasi sama tahu mereka tidak bersendirian,” katanya.
Kini, Izy Harun aktif membina nama menerusi platform digital dengan sokongan peminat yang kian bertambah. Beliau berharap industri muzik tempatan terus membuka ruang dan peluang kepada bakat baharu untuk berkembang serta berkongsi karya yang membawa cerita dan pengalaman masing-masing kepada pendengar.










