BACHOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan berjumlah RM2.1 juta kepada Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kampung Telong, dekat Kandis, di sini.
Beliau berkata, bantuan segera itu bertujuan untuk menampung kerosakan pusat pengajian pondok berkenaan.
Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan dalam masa beberapa bulan Ini.
“Saya telah berjanji dan berbual dengan guru-guru pondok, kita akan usahakan.
“Walaupun pondok ini dibawah YIK, ia memerlukan perhatian dan saya berjanji akan mengusahakannya (sumbangan),” katanya kepada pemberita semasa Program Mahabbah Madani Umara dan Ulama Pondok Kelantan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Kandis di sini malam ini.
Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Anwar memberitahu, pada masa sama beliau akan mengkaji permohonan keseluruhannya termasuk dalam sekitar 246 sekolah pondok yang daif di seluruh negara.-UTUSAN