Dunia komedi tanah air kini berdepan perubahan besar apabila ketiadaan platform tetap khusus untuk program hiburan dan lawak seperti Astro Warna sebelum ini.
Hal ini menyebabkan ramai pelawak terpaksa berdikari demi meneruskan kelangsungan hidup.
Mengakui keadaan itu, pelawak berpengalaman hampir 14 tahun dalam industri, Fad Bocey mengakui, landskap hiburan hari ini sudah jauh berbeza berbanding sedekad lalu dan menyifatkan situasi semasa sebagai fasa paling mencabar dalam sejarah perjalanan kerjayanya.
“Dulu kami ada rumah dan ramai tahu Astro Warna adalah tempat yang banyak melahirkan pelapis-pelapis pelawak tanah air. Boleh dikatakan, rumah kami itu tempat kami membesar, tempat kami cari rezeki, tempat kami bina nama.
“Tapi hari ini, rumah itu sudah tiada. Jadi orang selalu tanya, pelawak-pelawak ini nak cari rezeki di mana lagi? Saya pun terus terang, kami sendiri pun sedang mencari jawapan itu,” katanya ketika ditanya Utusan Malaysia baru-baru ini.
Fad menjelaskan, industri hiburan kini tidak lagi menyediakan ruang yang konsisten kepada golongan pelawak seperti dahulu, malah kitaran rezeki mereka kini disifatkan sebagai ‘roda yang sedang berada di bawah’.
“Saya selalu ibaratkan perjalanan pelawak ini macam roda. Kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah.
“Sekarang ini, roda itu memang sedang berpusing ke bawah. Kita kena terima hakikat bahawa zaman sudah berubah. Kalau dulu pelawak ini sentiasa ada tempat di TV, sekarang ini peluang itu makin mengecil,” jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan pelawak hari ini hanya mendapat peluang muncul di televisyen sekitar setahun sekali dan itu pun sekiranya menyertai pertandingan hiburan.
“Terus terang saya cakap, kalau tak masuk pertandingan, memang susah nak keluar TV. Dalam setahun, sekali sahaja kami dapat peluang itu. Itu pun bila bertanding, baru dipanggil.
“Nak kata kecil hati, memang kecil hati. Tapi kami tak pernah rasa kami ini tak penting. Cuma realitinya, ruang itu semakin sempit.
“Majlis anugerah pun tak pernah dijemput. Tapi kami terima semua itu dengan hati terbuka. Kami bukan merungut, cuma kami sedar sekarang ini zamannya sudah bertukar,”ujarnya.
Fad turut mengakui kebangkitan golongan pempengaruh media sosial atau influencer telah mengubah struktur industri hiburan.
“Sekarang pempengaruh sangat ramai. Mereka bukan sahaja buat video kandungan digital, tapi masuk dunia lakonan, nyanyian dan program hiburan.
“Jadi kami kena bersaing dengan ramai orang, termasuk ‘newcomers’ yang datang dengan jumlah pengikut yang besar. Bukan kami dengki, sebab ramai pempengaruh itu kawan dan adik-adik kami juga. Tapi dari sudut industri, situasi ini memang agak merisaukan.
“Keadaan ini berbeza dengan Indonesia yang mempunyai populasi besar dan ekosistem hiburan yang lebih luas. Artis di Malaysia masih terlalu bergantung kepada televisyen untuk terus berada dalam arus perdana.
“Di Indonesia, walaupun mereka jalan sendiri, mereka masih boleh hidup kerana pasaran mereka besar. Tapi di sini, kalau kami tak ada TV, kami susah nak kekal dalam ‘mainstream’. Jadi nak tak nak, kami masih kena harapkan TV,”luahnya.
Selain itu, kata Fad, ketiadaan platform tetap menyebabkan ramai pelawak kini beralih kepada TikTok, podcast dan persembahan kecil secara jelajah.
“Orang selalu tanya, tak malukah selalu ‘live’ TikTok? Tapi kami nak ‘perform’ di mana? Itu sahaja platform yang kami ada. Kami buat podcast sendiri, kami buat stand-up, kami buat jelajah ke negeri-negeri. Ini sahaja peluang yang kami ada untuk terus bergerak.
“Mungkin ia tak keluar TV, tapi kami ada perancangan sendiri. Kami kena bergerak sendiri, jumpa penonton secara live dan bina semula sokongan daripada orang-orang yang sejak dulu menyokong kami,”katanya.
Sehubungan itu, Fad turut menyeru agar stesen televisyen dan penggiat industri membuka peluang yang lebih luas kepada semua bakat tempatan tanpa terlalu terikat dengan label, eksklusiviti atau persepsi tertentu.
“Industri kita kecil. Kalau kita masih sempitkan peluang, pilih-pilih orang, kita sebenarnya sedang menyekat anak seni sendiri. Tak kisah pelakon, penyanyi atau pelawak, kita kena buka pintu ini seluas-luasnya.
“Ada tawaran yang saya dapat, tapi akhirnya dibatalkan sebab saya dikatakan terlalu banyak muncul di tempat lain. Padahal saya guna nama sendiri, bukan bawa nama stesen. Benda-benda macam inilah yang menyempitkan lagi ruang rezeki kami,”katanya.










