SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) terus memperkukuh peranan sebagai pemacu pembangunan komuniti apabila menyerahkan kemudahan infrastruktur Projek Kampung Angkat MADANI kepada penduduk Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor.
Penyerahan tersebut dilaksanakan bersempena penganjuran Karnival Putra di Sawah Sempadan 2025 yang berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Disember lalu bertempat di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang.
Penganjuran karnival itu berlangsung meriah dan berjaya mencapai matlamatnya apabila mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya.
Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sawah Sempadan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong dan DUN Permatang.
Turut terlibat menjayakan program ialah Pejabat Penghulu Tanjong Karang 2, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Selangor, Agro-Pelancongan Sawah Sempadan serta Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang.

Majlis perasmian karnival disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Yang Berbahagia Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyerahan kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan oleh UPM di bawah Projek Kampung Angkat MADANI kepada komuniti setempat.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kerja naik taraf jeti, taman mini dan laluan pejalan kaki, pembinaan rumah pengumpulan sampah serta pemasangan 10 unit lampu jalan bersolar di persimpangan strategik.
Selain itu, sebanyak lima unit kiosk jualan dan tiga unit kayak turut disediakan bagi menyokong aktiviti agro-pelancongan dan keusahawanan komuniti di kawasan Sawah Sempadan.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pelaksanaan projek berteraskan rakyat dalam melengkapkan kemudahan asas serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar.
Katanya, inisiatif ini juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat melalui pembangunan sektor agro-pelancongan dan aktiviti keusahawanan komuniti yang mampan.

Karnival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti pemindahan ilmu melibatkan aspek kesihatan dan pertanian seperti pencegahan denggi, kesedaran bahaya merokok, demonstrasi kokedama, pembuatan silaj ternakan, pemprosesan jem nanas serta demonstrasi masakan tradisi Jawa.
Pengisian ilmu tersebut bukan sahaja mendapat sambutan baik, malah membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti setempat, sekali gus menyokong matlamat penganjuran karnival dalam memperkasa masyarakat berasaskan ilmu.
Selain itu, pelbagai pertandingan berunsurkan tradisi dan kekitaan komuniti turut diadakan antaranya gusti lengan gaya kampung, pertandingan memancing, gubahan berasaskan bahan kitar semula, masakan berasaskan ubi kayu dan tema Jawa, sukan rakyat serta permainan karom.
Tidak ketinggalan, pertandingan mewarna kanak-kanak turut dianjurkan bagi memupuk kreativiti dan penglibatan golongan muda dalam program komuniti.
Secara keseluruhan, penganjuran karnival ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan masyarakat, di samping membuka ruang kolaborasi berterusan dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan komuniti.
Bagi menambah kemeriahan program, pelbagai pameran dan jualan komuniti turut diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM.
UPM turut mempamerkan hasil inovasi dan teknologi daripada Fakulti Pertanian, Putra Science Park, Fakulti Kejuruteraan serta Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, selain penglibatan agensi pertanian seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MARDI, IADA dan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Selangor. – UTUSAN










