Jangan sentuh rumpai laut berwarna merah

Jangan sentuh rumpai laut berwarna merah

Orang ramai diminta supaya tidak menyentuh rumpai laut berwarna merah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Orang ramai diminta tidak menyentuh atau memegang gumpalan rumpai laut merah yang terdampar di sekitar pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ketua Pusat Rujukan dan Repositori UMT (RRC-UMT), Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata, spesies yang tergolong dalam kumpulan Ceramiales itu dikhuatiri memberikan kesan gatal kepada individu yang berkulit sensitif jika disentuh.

Katanya, kehadiran rumpai laut merah lazimnya dikesan menjelang peralihan Monsun Timur Laut (MTL) ketika angin kencang, arus pesisir dan gelombang kuat yang menolak spesies berkenaan sehingga tercabut dari dasar laut lalu hanyut ke pantai.

“Baru-baru ini, berlaku fenomena rumpai laut merah yang terdampar di pantai UMT. Rumpai laut ini berwarna merah muda, halus seperti benang dengan segmen pendek, lembut tetapi tidak mudah putus.

“Ia tidak mengandungi toksin tetapi mudah rosak apabila terdedah kepada air tawar seperti hujan. Risiko kepada manusia lebih berkait dengan sentuhan fizikal ketika berada di pantai atau di dalam air dan individu berkulit sensitif mungkin mengalami kegatalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Muhammad Hafiz berkata, rumpai laut mempunyai taburan global yang luas termasuk di kawasan ‘temperat’ dan tropika.

Spesies berkenaan pernah terdampar secara lebih meluas di kawasan pantai UMT pada Ogos hingga Disember 2003 dan Oktober 2016.

“Gumpalan rumpai laut yang tidak dikutip akan mengalami proses degradasi. Cecair yang terhasil daripada proses itu pula bertakung di bawah gumpalan, mengeluarkan bau busuk seterusnya menarik serangga kecil dalam jumlah yang banyak.

“Risiko paling tinggi ialah penghasilan gas toksik hidrogen sulfida yang menyebabkan pening dan loya. Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar mengelak sebarang aktiviti di kawasan gumpalan rumpai laut merah terdampar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata fenomena itu bukan tanda pencemaran, sebaliknya proses semula jadi ekosistem pesisir dan rumpai laut memainkan peranan penting sebagai habitat sementara kepada organisma marin kecil seperti amphipods, isopods dan serangga pesisir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN