Trump ulangi hasrat capai perjanjian damai Israel-Iran  - Utusan Malaysia

Trump ulangi hasrat capai perjanjian damai Israel-Iran 

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi menyuarakan harapan untuk mencapai perjanjian damai antara Israel dan Iran ketika berucap di Knesset, Parlimen Israel, pada Selasa.

Dalam ucapannya, Trump menyatakan Iran telah menerima ‘tamparan’ besar.

“Bukankah mereka baru saja menerima tamparan hebat? Memang hebat sekali,” katanya sambil Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengangguk bersetuju.

Katanya, akan menjadi sesuatu yang luar biasa sekiranya rundingan damai dapat dimeterai antara kedua-dua negara.

“Adakah kamu akan gembira dengan berdamai? Bukankah itu sesuatu yang baik? Saya fikir mereka mahu. Saya rasa mereka sudah letih,” katanya kepada Netanyahu.

Beliau turut mendakwa Iran tidak menghidupkan semula program nuklearnya.

“Perkara terakhir yang mereka mahu lakukan ialah mula menggali gunung semula selepas ia baru saja diletupkan. Mereka mahu terus hidup, faham?” ujar Trump.

Trump juga berkata pasukannya boleh menyelesaikan perjanjian itu dengan mudah, tetapi perlu selesaikan isu Russia terlebih dahulu, merujuk kepada usahanya untuk mencapai rundingan damai dalam peperangan antara Russia dan Ukraine.

Iran sebelum ini menolak sebarang idea untuk menormalkan hubungan dengan Israel, selain berulang kali menyeru penghapusan negara itu dan membiayai rangkaian kumpulan bersenjata yang menentang kewujudannya.

Beralih kepada isu Lebanon, Trump menyatakan bahawa ‘belati’ Hezbollah yang selama ini dihalakan ke arah kerongkong Israel kini telah hancur sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan baharu Lebanon untuk melucutkan senjata Hezbollah yang disokong oleh Iran, serta membangunkan sebuah negara yang makmur dan hidup aman bersama jiran-jirannya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN