WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan keyakinan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mampu memainkan peranan utama dalam menamatkan perang antara Russia dan Ukraine, susulan kejayaan rundingan gencatan senjata di Gaza.
Dalam satu kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata beliau ‘berharap untuk bekerjasama dengan Erdogan bagi menamatkan perang antara Russia dan Ukraine – SEKARANG!’
Kenyataan itu hadir selepas perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin dan jemputan rasmi Erdogan kepada Trump untuk melawat Turkiye.
Trump, yang sebelum ini pernah berikrar untuk menamatkan konflik Ukraine dalam tempoh 24 jam sekiranya diberi mandat penuh, kini meningkatkan usaha diplomatiknya.
Beliau dijangka bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, minggu ini untuk membincangkan hala tuju rundingan damai serta potensi bantuan ketenteraan termasuk penghantaran peluru berpandu Tomahawk kepada Kyiv.
Turkiye, sebagai anggota NATO yang mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua pihak bertelagah sudah dua kali menjadi tuan rumah rundingan damai sejak permulaan pencerobohan Russia pada 2022.
Peranan Ankara dilihat semakin penting sebagai “jambatan diplomatik” dalam usaha mencapai penyelesaian damai jangka panjang.
Kenyataan Trump turut mendapat reaksi positif dari beberapa pemimpin Eropah, termasuk Canselor Jerman Friedrich Merz, yang menggesa AS memanfaatkan momentum diplomatik pasca-Gaza untuk mengalihkan fokus ke arah penyelesaian konflik Ukraine.