WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif terhadap barangan import dari Kanada sebanyak 10 peratus selepas wilayah Ontario menyiarkan iklan anti-tarif yang menggunakan rakaman suara bekas Presiden, Ronald Reagan.
Dalam hantaran di media sosial pada Sabtu, Trump menyifatkan iklan tersebut sebagai penipuan dan mengecam pegawai Kanada kerana gagal menghentikan tayangannya sebelum kejohanan baseball World Series berlangsung.
“Disebabkan pemalsuan fakta dan tindakan bermusuhan mereka, saya menaikkan tarif terhadap Kanada sebanyak 10 peratus daripada kadar sedia ada,” tulis Trump.
Langkah itu diambil selepas beliau pada Khamis menarik diri daripada rundingan perdagangan dengan Kanada.
Susulan itu, Ketua Menteri Ontario, Doug Ford, mengumumkan akan menggantung kempen iklan anti-tarif tersebut di AS.
“Saya bersetuju untuk menangguhkan kempen ini selepas berbincang dengan Perdana Menteri, Mark Carney supaya rundingan perdagangan dapat disambung semula,” kata Ford kepada media pada Jumaat.
Namun, beliau memaklumkan iklan tersebut tetap akan disiarkan sepanjang hujung minggu, termasuk semasa perlawanan World Series antara pasukan Toronto Blue Jays dan Los Angeles Dodgers.
Kanada kini menjadi satu-satunya negara dalam Kumpulan Tujuh (G7) yang belum mencapai perjanjian perdagangan baharu dengan AS sejak Trump memperkenalkan tarif tinggi terhadap rakan dagang utama Washington.
Ketika ini, AS mengenakan cukai sebanyak 35 peratus terhadap semua barangan Kanada meskipun kebanyakannya dikecualikan di bawah perjanjian perdagangan bebas sedia ada serta tarif tambahan 50 peratus terhadap logam dan 25 peratus bagi kenderaan.
Dalam hantaran yang dibuat ketika beliau dalam perjalanan ke Asia, Trump mengesahkan tambahan 10 mata peratusan akan dikenakan ke atas kadar sedia ada itu.
Ontario merupakan pusat utama industri automotif Kanada, dan lebih tiga perempat eksport Kanada dihantar ke AS.-AGENSI










