TEXAS: Pengeluar ubat tahan sakit Tylenol, Johnson & Johnson dan Kenvue, berdepan tindakan undang-undang selepas disaman oleh Peguam Negara Texas, Ken Paxton, pada Selasa atas dakwaan menyembunyikan kaitan ubat itu dengan autisme dan gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD).
Paxton, daripada Parti Republikan, memfailkan saman berkenaan kira-kira lima minggu selepas Presiden Donald Trump mendakwa penggunaan Tylenol semasa kehamilan boleh menyebabkan autisme dalam kalangan kanak-kanak, yang tidak disokong bukti saintifik dan dibuat oleh individu bukan doktor.
Johnson & Johnson menjual Tylenol selama lebih enam dekad sebelum operasinya dipindahkan kepada Kenvue pada 2023, selepas syarikat itu dipisahkan daripada entiti induknya.
Ubat tahan sakit itu dikenali secara umum sebagai acetaminophen.
Para doktor dan pertubuhan perubatan menganggap acetaminophen sebagai pilihan terbaik untuk merawat demam dan kesakitan semasa kehamilan.
Kenvue berulang kali mempertahankan keselamatan Tylenol, dan dalam satu kenyataan berkata syarikat itu akan mempertahankan diri terhadap saman yang difailkan oleh Paxton.
“Acetaminophen ialah pilihan ubat tahan sakit paling selamat untuk wanita hamil sepanjang tempoh kehamilan mereka, jika diambil mengikut keperluan.
“Kami amat bimbang terhadap penyebaran maklumat tidak benar mengenai keselamatan acetaminophen,” kata Kenvue.
Saham Kenvue merosot lebih 20 peratus sejak Trump mengaitkan Tylenol dengan autisme pada 22 September, termasuk penurunan sebanyak 7.5 peratus pada hari yang sama.
Paxton memfailkan aduannya di mahkamah negeri Texas yang terletak di daerah luar bandar Panola, berhampiran sempadan Louisiana, kawasan di mana Trump meraih 83 peratus undi dalam pilihan raya presiden 2024.- AGENSI










