TEBING BARAT: Tentera Israel terus memaksa puluhan ribu penduduk Palestin berpindah dari kem pelarian Nur Shams dan Tulkarem dengan meratakan kawasan itu menggunakan peralatan yang dibekalkan dari Amerika Syarikat (AS).
Serangan darat besar-besaran yang disertai dengan penggunaan jentolak, pembakaran dan penembak tepat menjadikan kehidupan di situ mustahil, menyebabkan majoriti penduduk terpaksa mencari perlindungan di pusat penempatan sementara atau kampung lain.
Di kem Nur Shams yang hampir kosong, tentera Israel berkawal di bumbung bangunan, mengintai dari tingkap dengan senapang penembak tepat dan berlegar di jalanan sunyi menggunakan lampu carian.
Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), sejak Januari lalu, misi dinamakan ‘Operasi Tembok Besi’ memaksa 32,000 penduduk daripada kem pelarian Tulkarem, Nur Shams dan Jenin meninggalkan kediaman mereka.
Tentera Israel, yang mengisytiharkan kedua-dua kem itu sebagai kawasan tentera tertutup, dijangka kekal di situ selama beberapa bulan lagi dan akan melepaskan tembakan ke arah sesiapa sahaja yang cuba masuk.
Menurut PBB, lebih 400 permohonan oleh keluarga Palestin untuk mengambil semula barang-barang dari rumah mereka dihantar kepada pihak Israel, namun tiada satu pun diluluskan.
Pada Julai, Mahkamah Tinggi Israel sempat membekukan perintah tentera untuk merobohkan 104 bangunan kediaman di Tulkarem. Namun keesokan harinya, mahkamah membenarkan tentera meneruskan perobohan.
Pusat undang-undang Israel, Adalah yang memperjuangkan hak minoriti Arab mendapati, sebanyak 162 bangunan dirobohkan, jauh melebihi angka dalam perintah asal.
Israel kini merobohkan rumah di Tebing Barat pada kadar tertinggi sejak perang 1967.