Suspek tembak mati bekas PM Jepun mengaku bersalah

Suspek tembak mati bekas PM Jepun mengaku bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Lelaki bersenjata yang dituduh membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengaku bersalah di mahkamah di Nara, tiga tahun selepas insiden kejam yang berlaku secara terbuka itu mengejutkan dunia.

Kes pembunuhan tersebut mencetuskan perdebatan di Jepun yang jarang berdepan insiden keganasan senjata api, selain menarik perhatian terhadap hubungan antara ahli politik konservatif berpengaruh dengan sebuah kumpulan agama kontroversi, Gereja Unifikasi.

“Segala-galanya benar,” kata Tetsuya Yamagami di mahkamah di bandar Nara, wilayah barat Jepun, sambil mengakui pembunuhan terhadap pemimpin paling lama berkhidmat dalam sejarah negara itu pada Julai 2022. Lelaki berusia 45 tahun itu dibawa masuk ke bilik mahkamah oleh empat pegawai keselamatan.

Yamagami yang memakai kemeja-T hitam dan mengikat rambut panjangnya di belakang menjawab soalan hakim dengan suara yang hampir tidak kedengaran.

Namun, peguamnya berkata, mereka akan mencabar beberapa pertuduhan lain termasuk pelanggaran undang-undang kawalan senjata, berhubung penggunaan senjata buatan sendiri.

Perbicaraan Yamagami tertunda lama selepas penemuan satu objek mencurigakan yang kemudiannya didapati tidak berbahaya, menyebabkan pembatalan perbicaraan saat akhir dan pemindahan keluar bangunan mahkamah Nara pada tahun 2023.

Antara isu utama dalam kes ini ialah sama ada terdapat keadaan meringankan hukuman akibat penderaan agama yang dialami Yamagami semasa kecil, berpunca daripada pengabdian melampau ibunya terhadap Gereja Unifikasi, menurut laporan media tempatan.

Yamagami dilaporkan menyimpan dendam terhadap Abe kerana percaya beliau mempunyai hubungan dengan gereja tersebut, yang diasaskan di Korea Selatan pada tahun 1954 dan dikenali dengan gelaran ‘Moonies’ sempena nama pengasasnya, Sun Myung Moon.

Gereja itu dituduh menyebabkan pengabaian anak-anak dalam kalangan pengikut serta mengeksploitasi mereka secara kewangan, dakwaan yang dinafikan oleh pihak gereja.

Yamagami dikatakan berdendam terhadap gereja itu selepas keluarganya muflis apabila ibunya mendermakan sekitar 100 juta yen (RM2.7 juta) sebagai tanda keimanannya.

Siasatan selepas pembunuhan Abe mendedahkan hubungan rapat antara Gereja Unifikasi dengan ramai ahli politik konservatif dalam Parti Demokratik Liberal (LDP), menyebabkan empat menteri meletak jawatan.

Awal tahun ini, Mahkamah Daerah Tokyo mengeluarkan perintah pembubaran terhadap cabang Gereja Unifikasi di Jepun, dengan menyatakan ia telah menyebabkan ‘kerosakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini’ kepada masyarakat.

Pembunuhan itu turut menjadi panggilan amaran kepada Jepun, sebuah negara dengan undang-undang kawalan senjata antara yang paling ketat di dunia.

Keganasan senjata api begitu jarang berlaku di Jepun sehingga pegawai keselamatan di tempat kejadian gagal mengenal pasti bunyi tembakan pertama dan datang menyelamat Abe terlalu lewat, menurut laporan polis selepas serangan tersebut.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN