Separuh rakyat Filipina mahu Duterte dihukum di ICC - Utusan Malaysia

Separuh rakyat Filipina mahu Duterte dihukum di ICC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Separuh daripada rakyat Filipina percaya bekas Presiden Rodrigo Duterte perlu dipertanggungjawabkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung kempen antidadah kontroversinya, menurut tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada Isnin.

Duterte, 80, kini berada dalam tahanan ICC sejak Mac lalu sementara menunggu perbicaraan berkaitan perang terhadap dadah yang dilancarkan pentadbirannya dari tahun 2016 hingga 2022. Pendakwa ICC menganggarkan operasi itu mengakibatkan kematian kira-kira 30,000 orang.

Tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh kumpulan penyelidikan bebas Social Weather Stations (SWS) bertanyakan sejauh mana responden ‘bersetuju atau tidak bersetuju bahawa Duterte harus dipertanggungjawabkan di ICC atas pembunuhan berkaitan dadah haram semasa pentadbirannya’.

Keputusan menunjukkan 50 peratus responden bersetuju Duterte perlu dipertanggungjawabkan, 32 peratus tidak bersetuju, 15 peratus tidak pasti dan empat peratus menyatakan mereka tidak cukup maklumat untuk menjawab.

Sokongan terhadap pendakwaan Duterte paling tinggi di wilayah Visayas (54 peratus) dan Metro Manila (53 peratus). Di Mindanao iaitu kawasan asal politik Duterte dan di mana beliau tetap memenangi pilihan raya datuk bandar pada Mei lalu walaupun sedang ditahan, sokongan terhadap perbicaraan itu adalah paling rendah, iaitu 39 peratus.

Tinjauan tersebut dijalankan di seluruh negara dari 24 hingga 30 September, melibatkan 1,500 responden dewasa dengan kadar ralat tiga mata peratusan.

Dapatan itu diumumkan selepas ICC minggu lalu menolak rayuan Duterte untuk dibebaskan sementara.

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Jumaat, bilik praperbicaraan ICC menyatakan bahawa penahanan Duterte masih perlu bagi memastikan kehadirannya semasa perbicaraan, mengelakkan beliau daripada mengganggu siasatan atau prosiding, serta mencegah kemungkinan beliau melakukan jenayah lain.

Mahkamah turut merujuk kepada penolakan berulang Duterte terhadap bidang kuasa ICC serta kenyataan umum oleh ahli keluarganya, termasuk Naib Presiden Sara Duterte dan para penyokongnya.

“Secara khusus, mahkamah mengambil maklum bahawa pada 19 Julai 2025, anak perempuan Duterte telah menyebut dalam ucapan awam tentang kemungkinan membebaskan Duterte dari Pusat Tahanan ICC,” kata keputusan itu.

Filipina menarik diri daripada ICC pada tahun 2019 ketika pendakwa mahkamah tersebut memulakan siasatan terhadap perang dadah Duterte.

Walaupun negara itu sudah keluar daripada keanggotaan ICC, mahkamah berkenaan tetap mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden tersebut kerana masih mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang didakwa berlaku ketika Filipina masih menjadi ahli. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN