Seoul rancang bina bunker nuklear awam pertama di bawah kompleks perumahan - Utusan Malaysia

Seoul rancang bina bunker nuklear awam pertama di bawah kompleks perumahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan merancang membina bunker awam pertama di ibu negara yang mampu menahan serangan nuklear di bawah sebuah kompleks perumahan awam menjelang tahun 2028, kata seorang pegawai kerajaan bandar pada Isnin.

Menurut pegawai itu, langkah tersebut diambil bagi menghadapi ancaman berterusan dari Korea Utara.

Katanya, kerajaan metropolitan Seoul bersama Seoul Housing and Communities Corp merancang membina tempat perlindungan khas untuk 999 isi rumah yang direka bagi menahan serangan nuklear, biologi atau kimia.

Bunker yang akan dibina di ruang bawah tanah kompleks perumahan tersebut bakal meliputi kawasan seluas 2,147 meter persegi dan mampu menampung sehingga 1,020 orang pada satu masa, dengan kemudahan asas mencukupi untuk tempoh 14 hari.

Akhbar Seoul Shinmun yang pertama melaporkan mengenai rancangan itu menyatakan bahawa ia merupakan langkah pertama seumpamanya oleh kerajaan tempatan susulan peningkatan ancaman nuklear dari Korea Utara.

Pada perarakan ketenteraan besar-besaran Jumaat lalu, Korea Utara mempamerkan peluru berpandu balistik terbaharunya yang mampu membawa hulu peledak nuklear ke sasaran di Korea Selatan malah sejauh Amerika Syarikat.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sebelum ini berkata, cara paling realistik untuk mengurangkan risiko daripada Korea Utara ialah dengan mencapai perjanjian pembekuan pengeluaran bom dan peluru berpandu nuklear negara itu. Namun, Pyongyang setakat ini menolak sebarang usaha diplomatik ke arah tersebut.

Korea Selatan kini mempunyai hampir 19,000 tempat perlindungan bom di seluruh negara, termasuk lebih 3,200 di Seoul, namun kebanyakan daripadanya tidak direka untuk melindungi daripada serangan nuklear, kimia atau biologi.

Sebahagian besar tempat perlindungan sedia ada terletak di stesen kereta api bawah tanah, ruang bawah tanah bangunan komersial, atau tempat letak kereta di apartmen persendirian yang ditetapkan sebagai tempat perlindungan dengan kebenaran pemilik bangunan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN