KHARTOUM: Kumpulan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) mendakwa berjaya menawan bandar El-Fasher, satu-satunya kubu terakhir tentera Sudan di wilayah Darfur, sekali gus menandakan titik perubahan besar dalam perang saudara yang berlarutan di negara itu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, RSF berkata, mereka sudah mengambil alih El-Fasher daripada cengkaman tentera upahan dan anggota yang bersekongkol dengan tentera pengganas.
Kehilangan El-Fasher dianggap tamparan besar buat Tentera Sudan, yang kini hampir kehilangan keseluruhan penguasaan di wilayah Darfur dan sehingga setakat ini, pihak tentera masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Menurut laporan RSF, mereka turut menawan Markas Divisyen Keenam Tentera Sudan, selain memusnahkan sejumlah besar kenderaan tentera dan merampas peralatan ketenteraan.
El-Fasher, yang menjadi pusat pentadbiran wilayah Darfur Utara, dikepung RSF selama 18 bulan dengan kedudukan tentera serta penduduk awam sering menjadi sasaran serangan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 300,000 penduduk terperangkap akibat pertempuran berterusan itu dan pada Ogos lalu, imej satelit menunjukkan pembinaan tembok tanah besar di sekeliling bandar berkenaan dipercayai bertujuan memerangkap orang awam di dalamnya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, RSF dilaporkan semakin menghampiri markas utama Divisyen Keenam yang dianggap pusat kawalan tentera di El-Fasher, selepas mara dari pelbagai arah.
Masih terdapat beberapa kawasan kecil di bandar itu di bawah kawalan tentera dan sekutunya, namun pemerhati menjangka ia tidak akan bertahan lama.
Sementara itu, Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, dalam satu kenyataan semalam melahirkan kebimbangan mendalam terhadap situasi di El-Fasher dan menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di seluruh Darfur serta Sudan.
“Ratusan ribu penduduk awam kini terperangkap dan ketakutan diserang, kelaparan, dan tanpa akses kepada makanan, rawatan kesihatan atau tempat perlindungan,” katanya sambil menambah serangan bertubi-tubi telah menjadikan usaha membawa bantuan ke bandar itu mustahil.
Penduduk El-Fasher kini berdepan kebuluran dan wabak penyakit berikutan kekurangan bekalan makanan serta ubat-ubatan.
Siasatan PBB sebelum ini mendapati RSF melakukan pelbagai jenayah terhadap kemanusiaan sepanjang kepungan tersebut, manakala Amerika Syarikat (AS) menuduh kumpulan itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk bukan Arab di Darfur.
Sudan terjerumus ke dalam konflik dahsyat sejak April 2023 apabila berlaku perebutan kuasa antara komander tertinggi tentera Sudan dan RSF, yang sebelum ini merupakan sekutu rapat dan sehingga kini, lebih 150,000 nyawa terkorban dan 12 juta penduduk dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah mereka, menjadikannya antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia. -AGENSI










