Ratusan pelarian Libya rebut peluang tiket percuma pulang ke Syria

Ratusan pelarian Libya rebut peluang tiket percuma pulang ke Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIPOLI: Ratusan pelarian Syria berpusu-pusu ke sebuah agensi pelancongan di Tripoli, Libya untuk merebut peluang mendapatkan tiket penerbangan percuma ke Damsyik yang ditawarkan oleh pihak berkuasa baharu Syria.

Menurut wartawan AFP di lokasi, lebih 700 rakyat Syria yang menetap di Libya sejak beberapa tahun lalu hadir ke agensi berkenaan bagi mengambil tiket dan pas perjalanan yang disediakan oleh kerajaan baharu di Damsyik, yang menggulingkan Bashar al-Assad, pada Disember lalu.

Secara keseluruhan, ribuan pelarian menyambut baik tawaran itu sejak ia diumumkan oleh Kementerian Luar Syria beberapa minggu lalu.

Antara mereka ialah Walid Hamud, 32, yang tiba di Libya lima tahun lalu selepas melarikan diri daripada perang saudara di negaranya.

“Keadaan di Syria masih belum benar-benar stabil, tetapi saya tetap mahu pulang. Mungkin selepas ini saya boleh kembali ke Libya untuk bekerja secara sah dengan permit kediaman,” katanya.

Seorang lagi pelarian, Rami Hassun berkata, dia meninggalkan wilayah Idlib pada 2020 selepas hidupnya terancam akibat pertempuran berterusan.

“Hari ini, Syria semakin aman dan keadaannya jauh lebih baik daripada sebelumnya. Kami bersyukur dapat pulang ke tanah air,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Mahmud Nasr al-Din yang menetap di Libya selama tiga tahun berkata, kepulangan mereka bertujuan untuk memulakan kehidupan baharu serta membantu membangunkan semula negara yang hancur akibat perang.

“Kami menjangka akan berlaku permintaan tinggi terhadap tenaga kerja di Syria. Namun, tanpa kemudahan perjalanan baharu ini, amat sukar untuk kami pulang kerana kedutaan Syria di Libya belum berfungsi sepenuhnya,” jelasnya.

Pada pertengahan Ogos lalu, delegasi dari Damsyik secara simbolik membuka semula kedutaan Syria di Tripoli yang ditutup sejak 2012, namun ia masih belum menawarkan perkhidmatan konsular sepenuhnya.

Walaupun tiada bancian rasmi, dianggarkan ribuan keluarga Syria menetap di Libya selama beberapa dekad, manakala ribuan lagi tiba sejak tercetusnya perang saudara pada 2011, dengan sebahagian mereka menjadikan Libya sebagai laluan ke Eropah melalui Laut Mediterranean. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN