Ratusan lari ke Thailand selepas tentera Myanmar serbu pusat penipuan

Ratusan lari ke Thailand selepas tentera Myanmar serbu pusat penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Lebih 600 individu berjaya melarikan diri dari sebuah pusat penipuan dalam talian terkenal di Myanmar dan menyeberang ke Thailand selepas serbuan dilancarkan oleh tentera negara itu, menurut pegawai wilayah Thailand semalam.

Pusat penipuan berskala besar yang menjalankan kegiatan memperdaya mangsa melalui cinta dan pelaburan dalam talian dilaporkan beroperasi di kawasan sempadan Myanmar yang sukar dikawal, susulan perang saudara selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.

Sejak tindakan keras bermula Februari lalu, pihak berkuasa dilaporkan menghantar pulang kira-kira 7,000 pekerja ke negara masing-masing, selain Thailand turut melaksanakan sekatan internet rentas sempadan bagi mengekang aktiviti penipuan tersebut.

Namun, siasatan AFP pada Oktober mendedahkan kerja pembinaan di kawasan tersebut masih giat dijalankan, dengan penerima perkhidmatan internet Starlink dipasang secara besar-besaran, dipercayai menghubungkan pusat-pusat penipuan itu kepada rangkaian satelit milik Elon Musk.

Timbalan Gabenor wilayah Tak yang bersempadan dengan Myanmar, Sawanit Suriyakul Na Ayutthaya, berkata seramai 677 orang melarikan diri dari pusat penipuan KK Park di Myanmar dan menyeberangi Sungai Moei ke Thailand pada pagi Khamis.

“Polis Imigresen dan pasukan tentera bekerjasama memberikan bantuan berdasarkan prosedur kemanusiaan… dan kesemua mereka akan melalui proses saringan,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata, proses saringan itu akan membantu pihak berkuasa menentukan sama ada individu terbabit merupakan mangsa pemerdagangan manusia, dan jika sebaliknya, mereka mungkin akan didakwa kerana menyeberang sempadan secara haram.

Walaupun sebahagian pekerja pusat penipuan jelas menjadi mangsa pemerdagangan dan dikurung dalam kompleks berpagar, pakar berkata ada juga yang memilih untuk bekerja secara sukarela kerana tertarik dengan peluang memperoleh pendapatan tinggi dalam industri haram bernilai berbilion dolar itu.

Pejabat Pentadbiran Wilayah Tak yang mengawasi kawasan berkenaan berkata kumpulan yang menyeberang dari Myanmar terdiri daripada ‘warga asing’, lelaki dan wanita, dan pihak berkuasa menjangka lebih ramai akan menyeberang ke Thailand.

Agensi berita rasmi Indonesia, Antara, melaporkan sekitar 20 rakyat Indonesia ‘berjaya menyeberang ke wilayah Thailand melalui Sungai Moei’ setakat Rabu, menurut Kedutaan Besar Indonesia di Yangon yang memetik maklumat daripada pihak berkuasa Thailand.

Industri penipuan rentas sempadan di Asia Tenggara dilaporkan berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ribuan individu terlibat dalam kegiatan tersebut, menurut pakar.

Mangsa di seluruh rantau ini dilaporkan kerugian sehingga AS$37 bilion (RM176 bilion) pada tahun 2023, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN