Presiden tertua dunia menang penggal kelapan dalam PRU penuh kontroversi

Presiden tertua dunia menang penggal kelapan dalam PRU penuh kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAOUNDÉ: Presiden Cameroon, Paul Biya yang berusia 92 tahun sekali lagi mengekalkan kuasanya selepas diumumkan sebagai pemenang dalam pilihan raya umum (PRU) yang mencetuskan pertikaian hebat dan rusuhan di beberapa bandar utama negara itu.

Majlis Perlembagaan Cameroon mengumumkan Biya yang juga ketua negara tertua di dunia, memperoleh 53.7 peratus undi, menewaskan pencabar utamanya, Issa Tchiroma Bakary yang memperoleh 35.2 peratus undian.

Sebelum keputusan rasmi diumumkan, Tchiroma Bakary yang juga bekas sekutu Biya yang kini menjadi tokoh pembangkang utama mendakwa beliau sebenarnya memenangi pilihan raya tersebut. Namun, parti pemerintah Cameroon People’s Democratic Movement (CPDM) menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Pilihan raya yang diadakan pada 12 Oktober lalu itu dicemari keganasan berdarah.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, ratusan penyokong Tchiroma Bakary turun ke jalan membantah keputusan pilihan raya meskipun larangan protes dikeluarkan, mengakibatkan pertembungan dengan pasukan keselamatan.

Dalam kenyataannya selepas diumumkan menang, Biya mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya amat berharap agar kita bersama-sama dapat membina Cameroon yang aman, bersatu dan makmur,” katanya.

Keganasan terus tercetus pada hujung minggu lalu apabila sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam protes di bandar Douala, pusat ekonomi utama negara itu.

Gabenor wilayah berkenaan, Samuel Dieudonné Diboua berkata, beberapa balai polis diserang dan pasukan keselamatan terpaksa bertindak mempertahankan diri.

Rusuhan berlanjutan ke hari Isnin apabila beberapa orang dilaporkan ditembak mati berhampiran kediaman Tchiroma Bakary di bandar Garoua, menurut laporan wartawan tempatan kepada BBC.

Pada masa sama, Tchiroma Bakary menulis di Facebook mendakwa tembakan dilepaskan ke arah orang awam yang berkumpul di luar rumahnya.

Beliau turut menuduh penembak tepat ditempatkan di rumah bersebelahan dan melepaskan tembakan ke arah penyokongnya.

Para penunjuk perasaan menuduh parti pemerintah cuba merampas kemenangan daripada calon pembangkang itu.

Keadaan di ibu negara Yaoundé dilaporkan semakin tegang, dengan kebanyakan kedai, sekolah dan pejabat kerajaan ditutup, manakala ramai penjawat awam memilih untuk tidak keluar bekerja kerana keselamatan tidak menentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN