GAZA: Penduduk Palestin bimbang penanda kuning yang dipasang oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menandakan kawasan di bawah kawalan Israel sepanjang fasa pertama gencatan senjata bakal menjadi sempadan baharu yang kekal di Semenanjung Gaza.
Blok konkrit berwarna kuning yang dibina setiap 200 meter itu ‘membelah’ Semenanjung Gaza kepada dua kawasan dan berpotensi membawa implikasi besar terhadap masa depan Palestin walaupun pembinaannya didakwa bersifat sementara.
Di bahagian barat, Hamas cuba mengembalikan kawalan di kawasan yang ditinggalkan oleh pengunduran separa Israel, termasuk melaksanakan hukuman mati awam terhadap geng samseng yang didakwa mendapat sokongan Israel.
Di bahagian meliputi timur, utara dan selatan Gaza, tentera IDF memperkukuh puluhan pos tentera dan melepaskan tembakan ke arah sesiapa yang menghampiri garis tersebut, sama ada ia sudah ditandakan dengan blok kuning atau belum.
Diancam peluru ‘terbang’
“Di kawasan kami, garisan kuning itu tidak jelas. Kami tidak tahu di mana ia bermula atau berakhir. Saya rasa di tempat lain lebih mudah dilihat, tetapi di sini tiada apa yang pasti.
“Sebaik sahaja kami menghampiri rumah, peluru mula berterbangan dari setiap arah. Kadangkala dron kecil berlegar di atas kami, memantau setiap pergerakan. Semalam saya bersama seorang rakan tiba-tiba dihujani tembakan.
“Kami terbaring di tanah sehingga tembakan berhenti. Saya tidak dapat sampai ke rumah. Rasanya perang belum berakhir bagi saya. Apa gunanya gencatan senjata jika saya masih tidak boleh pulang ke rumah?” kata bapa kepada lima anak, Mohammad Khaled Abu al-Hussain, 31.
Rumah keluarga Mohammad di al-Qarara, utara Khan Younis terletak di timur garisan kuning dalam zon di bawah kawalan IDF.
“Hati saya hancur melihat orang lain pulang ke rumah mereka sedangkan saya masih terperangkap antara harapan dan ketakutan. Tetapi yang paling saya bimbangkan ialah kemungkinan garis ini akan kekal dan tiada keputusan yang akan membenarkan kami kembali,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan nada angkuh mendakwa akan terus mengawal Gaza.
Beliau turut memberitahu barisan menterinya yang Israel akan menentukan sendiri bila dan di mana untuk menyerang musuh serta negara mana yang dibenarkan menghantar pasukan bagi memantau gencatan senjata.
“Kami akan mempertahankan diri dengan cara kami sendiri dan terus menentukan nasib kami. Kami tidak perlukan kelulusan sesiapa. Kami mengawal keselamatan kami,” katanya.
Dasar tembakan bebas di sepanjang garis kuning yang diarahkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menyusul selepas serangan pada 19 Oktober di bandar selatan Rafah yang mengorbankan dua anggota tentera rejim itu.
Dua minggu selepas gencatan senjata bermula, lebih 20 penduduk Palestin masih terbunuh setiap hari, kebanyakannya berhampiran garisan kuning.
Akibatnya, hanya segelintir pelarian yang berani kembali ke kawasan di bawah kawalan Israel.
Halangan politik ini menyukarkan usaha untuk beralih ke fasa kedua gencatan senjata yang dijangka melibatkan perlucutan senjata Hamas, penempatan pasukan penstabilan pelbagai negara serta pengunduran IDF dari garisan kuning ke kedudukan lebih dekat dengan sempadan Gaza.
Cipta sempadan baharu
Sayap kanan dalam gabungan pemerintahan Netanyahu menentang keras sebarang pengunduran lanjut dan penyerahan kawalan Gaza kepada pihak antarabangsa.
Dalam keadaan buntu ini, garisan kuning semakin berubah menjadi sempadan kekal de facto, malah media Israel kini merujuknya sebagai ‘sempadan baharu’.
Penulis tentera akhbar Yedioth Ahronoth, Yoav Zitun meramalkan garisan kuning itu berkembang menjadi halangan tinggi dan canggih yang akan mengecilkan Semenanjung Gaza, memperluas Negev barat serta membolehkan pembinaan penempatan Israel di sana.
Presiden kumpulan advokasi Refugees International dan bekas pegawai bantuan Amerika Syarikat (AS), Jeremy Konyndyk menyifatkannya sebagai bentuk aneksasi berperingkat terhadap Gaza.
Di bawah terma gencatan senjata yang ditaja AS dan berkuat kuasa sejak 10 Oktober, pengunduran IDF ke garis kuning sepatutnya meninggalkan 53 peratus kawasan Gaza di bawah kawalan Israel.
Namun, analisis satelit BBC mendapati penanda kuning tersebut diletakkan beberapa ratus meter melepasi garis yang dipersetujui, menunjukkan pengambilalihan tanah tambahan yang ketara.
Jurucakap IDF enggan mengulas laporan itu. Kenyataan terdahulu hanya menyebut kerja menandakan garis kuning sudah bermula dengan penghadang konkrit dan tiang dicat kuning setinggi 3.5 meter yang kononnya bertujuan untuk menetapkan kejelasan taktikal di lapangan.
Tindakan itu mempamerkan pembahagian Gaza yang semakin luas, dengan sebahagian besar daripada 2.1 juta penduduknya kini terhimpit dalam separuh wilayah, di tengah-tengah kemusnahan akibat dua tahun pengeboman Israel.
“Setakat yang kami diberitahu, garisan kuning itu terletak kira-kira satu kilometer selepas Jalan Salah al-Din,” kata bapa kepada sembilan anak, Ayman Abu Mandeel, 58, merujuk kepada jalan utama yang merentasi Gaza dari selatan ke utara.
Sisa rumahnya terletak di timur al-Qarara, namun Ayman tidak menaruh harapan besar untuk kembali.
“Tentera Israel memasang kren, menara kawalan dan kereta kebal di sana. Mereka memantau setiap pergerakan dan melepaskan tembakan kepada sesiapa yang menghampiri.
“Kami sendiri belum melihat penanda kuning itu kerana sesiapa yang cuba mendekati kawasan itu akan segera menjadi sasaran. Dron kecil tidak teragak-agak menembak sesiapa yang bergerak ke arah mereka. Seolah-olah mendekati tanah kami sendiri kini menjadi satu jenayah,” katanya.










