ROM: Seorang pelancong warga Jepun maut selepas terjatuh dari dinding luar Pantheon di Rom pada malam Jumaat, lapor agensi berita Itali Ansa.
Lelaki berusia 69 tahun itu dikatakan duduk di atas dinding berkenaan sebelum terjatuh ke dalam parit purba setinggi tujuh meter yang mengelilingi bangunan bersejarah itu.
Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan pintu pagar di Via della Palombella berhampiran Pantheon untuk mencapai mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis Rom turut membuka siasatan rasmi berhubung insiden tersebut.
Menurut laporan media Itali pada Sabtu, mangsa sedang melawat Rom bersama anak perempuannya yang memberitahu polis ayahnya terjatuh selepas diserang sakit secara tiba-tiba, menyebabkan beliau hilang imbangan.
Dinding tersebut sering menjadi tempat rehat para pelancong selepas bersiar-siar di kawasan berdekatan.
Pantheon dibina oleh Maharaja Rom Hadrian dan terkenal dengan oculus, iaitu lubang besar di bahagian tengah kubahnya yang merupakan antara monumen paling kerap dikunjungi di Itali.
Kemasukan ke Pantheon sebelum ini percuma, namun sejak tahun 2023, sistem tiket berharga 5 euro (RM24.54) diperkenalkan.
Walaupun keputusan itu menimbulkan kontroversi, ia tidak mengurangkan jumlah pelawat, dengan lebih 4 juta orang melawat tapak bersejarah itu pada tahun 2024 dengan barisan panjang sering dilihat di Piazza della Rotonda, di luar bangunan tersebut.
Tragedi terbaharu itu juga bukan yang pertama melibatkan pelancong di Rom tahun ini. Pada Mac, seorang wanita Sepanyol berusia 55 tahun maut selepas terjatuh dari tembok tinggi di sisi Spanish Steps.
Pada April, seorang pelancong dari Scotland, Grant Paterson, 54, meninggal dunia akibat melecur teruk dalam letupan gas di pangsapuri sewaannya di Rom. Beliau baru tiba beberapa hari sebelumnya dalam lawatan solo, mengunjungi tempat-tempat terkenal seperti Air Pancut Trevi, Pantheon, dan Colosseum.
Sejak berakhirnya pandemik Covid-19, jumlah pelancong ke Rom melonjak mendadak, dengan rekod baharu 22.2 juta ketibaan pada tahun 2024.










