Pegawai AS-China capai rangka kerja positif dalam pertemuan di Kuala Lumpur

Pegawai AS-China capai rangka kerja positif dalam pertemuan di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai dari Amerika Syarikat (AS) dan China  mencapai satu ‘rangka kerja yang sangat positif’ menjelang rundingan perdagangan penting antara pemimpin kedua-dua negara minggu ini, kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pada Ahad.

“Saya menggambarkannya sebagai perbincangan yang membina, menyeluruh dan mendalam, yang membolehkan kita bergerak ke hadapan serta menyediakan asas positif bagi pertemuan pemimpin nanti,” kata Bessent selepas dua hari rundingan berakhir di Malaysia.

Namun beliau menegaskan sebarang lanjutan gencatan dagang kini terpulang kepada keputusan Presiden AS, Donald Trump sendiri menerusi pertemuannya dengan Perdana Menteri China, Xi Jinping di Korea Selatan.

Bessent bertemu Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, di Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia.

Pertemuan itu diadakan ketika dua ekonomi terbesar dunia berusaha mengelak peningkatan perang tarif yang berlarutan, menjelang pertemuan antara Trump dan Jinping di Korea Selatan pada 30 Oktober.

Trump sebelum ini menyatakan harapan untuk memeterai ‘perjanjian yang baik’ dengan China dan menamatkan perang dagang yang menjejaskan ekonomi global, walaupun beliau pernah mengancam membatalkan pertemuan tersebut, yang dijadualkan berlangsung di pinggir sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bermula 31 Oktober.

Pada Oktober, Beijing mengumumkan kawalan besar-besaran ke atas industri logam nadir bumi, yang dianggap kritikal bagi sektor teknologi tinggi.

Langkah itu mendorong Trump untuk mengancam mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua import dari China sebagai tindak balas.

Kedua-dua negara juga mula mengenakan bayaran ke atas kapal dagang masing-masing yang tiba di pelabuhan mereka, selepas penyiasatan ‘Seksyen 301’ oleh AS mendapati penguasaan China dalam industri tersebut dianggap tidak munasabah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN