GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan kemasukan satu pasukan teknikal Mesir ke Semenanjung Gaza bagi membantu usaha mencari mayat 13 tebusan yang masih belum ditemui.
Pasukan tersebut memasuki Gaza dengan membawa beberapa kenderaan kejuruteraan selepas maklumat mengenai lokasi mangsa diberikan oleh Israel dan Hamas untuk memudahkan pencarian.
Sebelum ini, Israel tidak membenarkan kemasukan mana-mana pasukan luar atas alasan Hamas sendiri berupaya mencari dan menyerahkan semula mayat-mayat tersebut.
Namun, menurut laporan Channel 12, Israel kini yakin Hamas masih menyimpan beberapa mayat tebusan dan enggan menyerahkannya, selain menyembunyikan maklumat tentang lokasi mereka.
Pegawai keselamatan dilaporkan memaklumkan kepada beberapa keluarga tebusan mengenai kawasan umum di mana mayat ahli keluarga mereka dipercayai disimpan.
Sumber Israel memberitahu dua lagi mayat akan dikembalikan oleh Hamas pada Ahad selepas tekanan daripada pengantara antarabangsa yang memberi amaran, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hampir menuduh Hamas sebagai pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan gencatan senjata.
Menurut laporan itu, Israel turut mempertimbangkan untuk menangguhkan kemasukan bahan api dan makanan ke Gaza bagi memberi tekanan kepada Hamas, namun cadangan tersebut ditolak pegawai kanan pentadbiran Trump yang melawat Israel minggu lalu, menegaskan langkah itu boleh membahayakan perjanjian gencatan senjata.
Saluran Kan pula melaporkan pegawai pertahanan Israel memberitahu Naib Presiden AS, JD Vance dalam satu pertemuan pada Khamis yang Hamas mampu memulangkan sekurang-kurangnya 10 daripada 13 mayat tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Sebelum gencatan senjata, Hamas dilaporkan menahan 28 mayat tebusan namun kumpulan itu sudah memulangkan 15 mayat serta membebaskan semua 20 tebusan yang masih hidup. Pemulangan mayat dua tebusan terakhir berlaku pada Selasa malam.










