Pasport AS bukan lagi paling berkuasa di dunia

Pasport AS bukan lagi paling berkuasa di dunia

PASPORT AS kini berada di tangga ke-12 dunia, berkongsi kedudukan dengan Malaysia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Buat pertama kali dalam tempoh dua dekad, Amerika Syarikat (AS) tersingkir daripada senarai 10 pasport paling berkuasa di dunia, menandakan perubahan besar bagi kuasa besar global itu.

Menurut Indeks Pasport Henley, senarai yang menilai bilangan negara yang boleh dilawati tanpa visa, pasport AS kini berada di tangga ke-12 dunia, berkongsi kedudukan dengan Malaysia.

Tahun lalu, AS berada di tempat ketujuh sebelum jatuh ke tangga ke-10 pada Julai tahun ini. 10 tahun lalu, pasport AS pernah menduduki tempat teratas.

“Penurunan kekuatan pasport AS sepanjang dekad lalu bukan sekadar perubahan kedudukan, tetapi mencerminkan perubahan asas dalam mobiliti global dan dinamik kuasa pengaruh dunia,” kata

Pengerusi Henley & Partners merangkap pencipta indeks itu, Christian H. Kaelin dalam satu kenyataan media.

Katanya, negara yang mengamalkan keterbukaan dan kerjasama kini semakin maju, manakala mereka yang bergantung pada keistimewaan masa lalu semakin ketinggalan.

Negara-negara Asia kini mendominasi kedudukan teratas dengan Singapura mendahului menerusi akses tanpa visa ke 193 destinasi, diikuti Korea Selatan (190) dan Jepun (189).

Henley & Partners, firma berpangkalan di London yang pakar dalam perundingan kewarganegaraan dan kediaman, telah mengumpul data ini selama hampir 20 tahun menggunakan maklumat daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Keputusan terbaharu ini turut dikaitkan dengan dasar imigresen dan perjalanan AS yang semakin ketat sejak pentadbiran Donald Trump, yang pada awalnya menyasarkan penghijrahan tanpa izin tetapi kini turut menjejaskan pelancongan, pekerja asing dan pelajar antarabangsa.

Menurut Henley & Partners, prinsip timbal balik memainkan peranan besar dalam penentuan kedudukan. Walaupun pemegang pasport AS boleh melancong ke 180 destinasi tanpa visa, hanya 46 kewarganegaraan yang dibenarkan masuk ke AS tanpa visa.

Perubahan dasar visa di beberapa negara turut menyumbang kepada penurunan ini. Pada April lalu, Brazil menamatkan kemasukan tanpa visa untuk rakyat AS, Kanada dan Australia kerana ketiadaan timbal balik.

Sebaliknya, beberapa negara lain memperluas senarai pengecualian visa, tetapi tidak kepada AS. China dan Vietnam, misalnya, telah mengecualikan AS daripada senarai baharu negara yang layak menikmati pelancongan tanpa visa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN