TOKYO: Pengeluar kereta Jepun, Nissan Motor Co. mengumumkan kerjasama dengan syarikat kenderaan elektrik (EV) China, BYD bagi menggabungkan rekod pelepasan karbon mereka di Eropah, langkah strategik untuk mengelak penalti besar yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU) bermula tahun 2025.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada skim pengimbangan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang diluluskan oleh EU untuk industri automotif, yang membolehkan pengeluar kenderaan enjin pembakaran (ICE) mengurangkan risiko denda dianggarkan mencecah 13 bilion pound (RM72.9 bilion).
Dalam kenyataan rasmi, Nissan berkata, syarikat itu sudah membentuk kumpulan pelepasan CO2 bersama BYD bagi 2025 di pasaran Eropah.
“Perjanjian ini merangkumi kenderaan penumpang di pasaran EU dan menyokong komitmen Nissan ke arah pelepasan sifar dengan cara yang mampan, seiring dengan sasaran EU untuk mencapai dekarbonisasi sepenuhnya menjelang 2050,” katanya.
Nissan berkata, langkah tersebut diambil untuk memastikan syarikat terus mematuhi peraturan EU serta mengekalkan momentum dalam peralihan ke arah matlamat pelepasan sifar mereka sendiri.
Walaupun eksport EV China ke Eropah semakin menekan industri automotif tempatan, pengeluar seperti BYD kini turut membantu jenama tradisional seperti Nissan mencapai sasaran dekarbonisasi melalui peraturan EU yang membenarkan pengeluar untuk menggabungkan pelepasan mereka.
EU baru-baru ini juga melanjutkan tempoh pematuhan peraturan pelepasan daripada setahun kepada tiga tahun namun dibimbangi akan melambatkan kadar peralihan kepada EV terutamanya di negara-negara Eropah Selatan serta pasaran utama seperti Perancis dan Jerman.
Menurut pegawai dagangan kredit karbon di syarikat milik China, Polestar iaitu jenama Sweden yang hanya menghasilkan EV, Fredrik Eklund, peraturan itu berisiko menangguhkan peralihan daripada kenderaan konvensional kepada EV.
“Kami sudah melihat pengeluar kereta cuba melengahkan tarikh akhir 2027, sedangkan dari perspektif industri dan masyarakat, kelewatan ini bukan sesuatu yang kita inginkan,” katanya.
Berdasarkan garis panduan semasa, pengeluar kenderaan perlu mematuhi had pelepasan 93.6 gram CO2 setiap kilometer.
Namun di bawah sistem penggabungan, pengeluar boleh membayar syarikat EV seperti BYD untuk ‘mengimbangi’ pelepasan daripada kenderaan berasap tinggi, sekali gus mengelakkan denda berat.
Sebelum skim ini diperkenalkan, industri automotif Eropah menjangkakan sasaran pelepasan karbon 2025 berpotensi menyebabkan denda keseluruhan sebanyak 15 bilion pound (RM73.5 bilion) terhadap pengeluar yang gagal mematuhinya. -AGENSI










