WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) mendedahkan rancangan untuk menghantar angkasawan menetap di bulan dalam struktur berbentuk gelembung kaca yang diperbuat daripada debu bulan.
Menurut laporan The Telegraph, NASA sedang membiayai penyelidikan bagi membangunkan sfera besar yang boleh didiami dan dibina terus di permukaan bulan.
Debu kaca bulan iaitu salah satu komponen utama tanah bulan atau regolith yang terdiri daripada batuan dan serpihan mineral akan dikumpulkan sebaik sahaja pasukan tiba dari Bumi.
Bahan tersebut kemudian akan dicairkan menggunakan teknologi seumpama ketuhar gelombang mikro domestic bersama peralatan khas yang dikenali sebagai smart microwave furnace.
Peralatan berteknologi tinggi ini direka untuk mencairkan bahan tersebut dan membentuknya menjadi gelembung kaca yang akan mengeras menjadi struktur besar dan lutsinar.
Idea unik ini dicetuskan oleh syarikat kejuruteraan angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), Skyeports yang telah membuktikan bahawa bola kaca boleh dihasilkan daripada debu bulan melalui kaedah sama.
Setakat ini, sfera ujian yang dihasilkan hanya bersaiz beberapa inci, namun matlamat jangka panjang ialah membesarkannya sehingga ratusan atau ribuan kaki, cukup besar untuk dijadikan tempat tinggal angkasawan.
Struktur berbentuk sfera itu dijangka berukuran antara 1,000 hingga 1,600 kaki lebar, dan bahan kaca khas yang digunakan mungkin boleh diubah suai untuk memiliki keupayaan memulih sendiri.
Kaca tersebut diperbuat daripada polimer istimewa yang mampu menyusun semula strukturnya selepas mengalami retakan kecil akibat hentaman mikrometeorit atau gegaran kecil di bulan.Kediaman bulan ini juga berpotensi dilengkapi dengan panel solar untuk menjana tenaga sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Skyeports, Dr. Martin Bermudez berharap suatu hari nanti keseluruhan bandar yang terdiri daripada sfera-sfera kaca ini akan dibina di bulan dan juga di ruang angkasa lain.